AIDI Sham (dua dari kanan) bersama petugas kesihatan mendekati penduduk ketika pemeriksaan di Pantai Saujana Batu 4 di Port Dickson. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.
AIDI Sham (dua dari kanan) bersama petugas kesihatan mendekati penduduk ketika pemeriksaan di Pantai Saujana Batu 4 di Port Dickson. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.
Ahmad Hasbi

Port Dickson: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama polis mengesan individu yang belum mengambil suntikan vaksin Covid-19 di kawasan tumpuan pelancong di sekitar Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, Program Advokat Kesihatan di Pantai anjuran Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ini memberi penekanan kesedaran orang awam terhadap kepentingan vaksin.

"Menerusi program ini kami bekerjasama dengan PKD untuk mempromosikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan menyemak status vaksinasi pengunjung di sepanjang pantai di Port Dickson.

"Kami menggunakan pendekatan yang lebih mesra. Sekiranya terdapat individu yang belum divaksin, maka satu tarikh janji temu vaksinasi akan diberikan serta-merta, mereka tidak akan dikompaun," katanya di sini, semalam.

Terdahulu, Aidi Sham membuat pemeriksaan di Pantai Batu 4 di sini, bersama petugas KKM dan kakitangan Majlis Daerah Port Dickson (MPKD), semalam.

Dalam pemeriksaan itu, katanya, tiada penduduk dewasa yang ditemui belum divaksin.

Menurutnya, rekod juga menunjukkan hampir 100 peratus populasi dewasa Negeri Sembilan menerima vaksin yang mempengaruhi peralihan negeri itu kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara, Jumaat lalu.

"Ia satu petanda yang baik memandangkan jumlah orang dewasa yang sudah lengkap dos kedua di negeri ini sudah mencapai lebih 90 peratus," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya bersama agensi lain akan tetap membuat pemantauan berkala 24 jam di kawasan tumpuan yang kini kembali menjadi tempat popular riadah.

"Dalam masa sama, kita tidak menggalakkan pengunjung untuk berkhemah dan bermalam di sepanjang pantai kerana dikhuatiri akan berisiko bawa penularan Covid-19 selain faktor cuaca hujan ketika ini.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak selesa (leka) dengan peralihan Fasa 4 sebaliknya terus patuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 8:45 AM