Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Seramai 3,868 pegawai dan anggota polis Kontinjen Kelantan sudah menerima dos kedua suntikan vaksin Covid-19, setakat semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, dos pertama sudah selesai diberikan sebelum ini membabitkan 4,309 anggota dan pegawai.

Katanya, ketika ini seramai 591 kakitangan awam dalam perkhidmatan itu sudah menerima dos pertama, manakala 309 kakitangan lain sudah melengkapkan dos kedua.

"Ahli keluarga anggota polis juga sudah menerima vaksinasi Covid-19 dan prosesnya masih berjalan. Apa yang diharapkan, mereka memberi kerjasama baik dan suntikan vaksin dapat diberikan secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Pulau Tukang Dollah, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, tindakan PKPD terbabit bermula 12 tengah malam tadi sehingga 8 Julai ini, membabitkan 188 rumah dengan jumlah penduduk seramai 865 orang.

"Setakat ini, seramai 260 penduduk sudah disaring, manakala 41 daripadanya didapati positif Covid-19.

Abdullah melihat peta kawasan laluan utama ke Kampung Pulau Tukang Dollah yang ditutup sepenuhnya berikutan dilaksanakan PKPD. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Abdullah melihat peta kawasan laluan utama ke Kampung Pulau Tukang Dollah yang ditutup sepenuhnya berikutan dilaksanakan PKPD. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Polis turut menutup empat laluan keluar masuk termasuk laluan tikus di kawasan terbabit dengan seramai 29 anggota ditugaskan menjaga kawasan PKPD ini.

"Setakat ini di Kelantan terdapat tiga kawasan PKPD di mana dua daripadanya di jajahan Pasir Puteh. Saya berharap orang ramai terus patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) agar pandemik Covid-19 dapat segera ditamatkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 1:44 PM