Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Segelintir penduduk yang membeli juadah berbuka di tepi jalan di bandar ini, didapati mengabaikan prosedur operasi standard (SOP), terutama membabitkan penjarakan fizikal.

Tinjauan di beberapa lokasi mendapati, kebanyakan mereka leka dengan SOP yang ditetapkan kerajaan, walaupun Kelantan mencatatkan peningkatan kes Covid-19.

Masing-masing kelihatan mahu cepat membeli juadah berbuka tanpa memikirkan penjarakan sosial, lebih-lebih lagi lokasi berkenaan tidak menempatkan anggota Rela.

Pengunjung, Wan Ismail Wan Hamat, 45, ketika ditemui di Kampung Cina di Pantai Cahaya Bulan (PCB) meluahkan rasa kecewa melihat ada penduduk yang mengabaikan SOP.

Katanya, sejak semalam dia melihat segelintir penduduk yang membeli juadah berbuka berpusu-pusu di gerai tertentu tanpa ada penjarakan fizikal.

"Rasa sedih melihat suasana seperti itu kerana kita beriya-iya menjaga SOP supaya kes Covid-19 di Kelantan berkurangan, namun orang lain sebaliknya dan mengambil sikap sambil lewa.

"Sepatutnya bila kerajaan negeri membatalkan operasi bazar Ramadan, orang ramai sepatutnya lebih berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan kerana keputusan itu dibuat disebabkan peningkatan kes," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, operasi bazar Ramadan di Kelantan terpaksa dibatalkan berikutan kes Covid-19 di negeri itu meningkat.

TINJAUAN di Kampung Cina di Jalan PCB mendapati pengunjung yang membeli juadah berbuka puasa kelihatan mengabaikan SOP terutama membabitkan penjarakan fizikal. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TINJAUAN di Kampung Cina di Jalan PCB mendapati pengunjung yang membeli juadah berbuka puasa kelihatan mengabaikan SOP terutama membabitkan penjarakan fizikal. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin dilaporkan berkata, Madinah Ramadan juga ditukar menjadi Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sebagai ikhtiar demi membendung penularan wabak berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, peniaga masih dibenarkan berniaga di tepi jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 7:10 PM