DATUK Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri) mengadakan pertemuan dengan Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) bagi membincangkan isu bekalan air dan alam sekitar bersama kerajaan negeri di Wisma Darul Aman hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
DATUK Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri) mengadakan pertemuan dengan Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) bagi membincangkan isu bekalan air dan alam sekitar bersama kerajaan negeri di Wisma Darul Aman hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


KERAJAAN Persekutuan menyerahkan kepada kebijaksanaan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu tuntutan ganti rugi dikemukakan syarikat yang dibatalkan kelulusan konsesi balak di Kedah bernilai RM1.5 bilion.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau yakin kerajaan negeri Kedah dapat mencari mekanisme terbaik bagi mengatasi isu terbabit.

"Prinsip kita bersetuju untuk memelihara alam sekitar dan bekalan air, kedua-duanya menjadi keutamaan kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Sebab isu ini dibawa oleh kerajaan (negeri) lama yang disambung... jadi saya fikir kerajaan negeri akan ada kaedah penyelesaian terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan bekalan air dan alam sekitar bersama kerajaan negeri di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Pada Rabu lalu, Muhammad Sanusi memberitahu jumlah tuntutan itu mencecah RM1.5 bilion berbanding RM1 bilion seperti dimaklumkan sebelum ini.

Katanya, ia membabitkan tuntutan daripada kira-kira 40 syarikat dengan sebanyak 131 kelulusan konsesi membabitkan kawasan seluas 22,098 hektar di Hutan Simpan Ulu Muda.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri akan membuka semula konsesi balak bagi mengelak bayaran tuntutan saman yang dikemukakan syarikat pembalakan.

Muhammad Sanusi dipetik berkata, perkara itu hanya cadangan bagi menyelesaikan masalah berbangkit selepas kelulusan konsesi diberikan kepada syarikat pembalakan dibatalkan kerajaan negeri sebelum ini, sedangkan syarikat terbabit sudah membayar premium.

Katanya, apabila berhadapan dengan tindakan mahkamah, pilihan yang ada ialah membayar ganti rugi atau menimbang langkah menggantikan kawasan lain kepada syarikat terbabit.

Keputusan kerajaan negeri untuk membeku dan menghentikan pembalakan dalam kawasan tadahan air itu dibuat dalam satu mesyuarat pada 30 Ogos 2018 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 4:00 PM