GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 23,469 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 1,863,922 kes atau 88.9 peratus daripada keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes sembuh itu mengatasi jumlah kes harian baharu iaitu sebanyak 14,954 kes, menjadikan keseluruhan kes positif Covid-19 dalam negara mencecah 2,097,830 kes.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 14,943 adalah kes tempatan manakala 11 lagi kes import yang membabitkan sembilan warga negara dan dua bukan warga negara.

"Selain itu, 243 kes atau 1.6 peratus daripada jumlah kes harian yang dilaporkan hari ini adalah pesakit kategori tiga, empat dan lima manakala 14,711 kes (98.4 peratus) lagi terdiri daripada kategori satu serta dua," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Sarawak kekal merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 2,707 kes diikuti Selangor (2,028 kes); Johor (1,948 kes); Kelantan (1,420 kes); Sabah (1,356 kes); Pulau Pinang (1,259 kes); Perak (1,222 kes); Kedah (809 kes) dan Pahang (705 kes).

Selain itu, katanya, Terengganu mencatatkan 671 kes; Kuala Lumpur (383 kes); Melaka (207 kes); Negeri Sembilan (144 kes); Perlis (76 kes); Putrajaya (19 kes) dan sifar kes di Labuan.

Mengenai pesakit menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), beliau berkata, seramai 1,194 kes memerlukan rawatan di ICU yang mana 882 kes disahkan Covid-19 manakala 312 kes suspek, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Beliau berkata, seramai 665 pesakit yang dirawat di ICU itu memerlukan bantuan pernafasan yang membabitkan 264 kes suspek, kemungkinan dan dalam siasatan.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengesan kewujudan 19 kluster baharu menjadikan jumlah keseluruhan kluster Covid-19 di negara sebanyak 5,282 kluster dengan 1,348 kluster aktif.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 7:28 PM