GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kes baharu Covid-19, hari ini direkodkan sebanyak 1,116 kes, menurun 211 kes berbanding semalam.

Jumlah itu sekali gus menjadikan angka keseluruhan penularan wabak ialah 334,156 kes, dengan kes aktif adalah 14,134 kes, manakala lima kematian baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu hari ini, lapan adalah kes import, sementara 1,108 kes membabitkan penularan tempatan.

"Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 403 kes, diikuti Kuala Lumpur (158 kes) dan Sarawak (124 kes).

"Sebanyak 77 kes dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen (DTI) membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (42 kes); Kluster Tembok Tapah (8 kes); Kluster Tembok Taiping (6 kes); Kluster Jalan Awang (2 kes); Kluster DTI Machap Umboo (2 kes); Kluster DTI Sepang 2 (1 kes); Kluster Telok Mas (1 kes); Kluster Tembok Pengkalan Chepa (1 kes) dan Kluster Tembok Bukit Besi (1 kes)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, terdapat 156 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 60 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Sebanyak 1,495 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 318,784 kes atau 95.4 peratus daripada jumlah keseluruhan.

"Lima kes kematian yang dilaporkan hari ini, masing-masing satu kes di Negeri Sembilan, Sabah, Pahang, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur membabitkan pesakit berusia antara 44 hingga 84 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kronik," katanya.

Beliau memberitahu kematian baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kematian adalah 1,238 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 6:17 PM