Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 23,332 kes pulih Covid-19 direkodkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh meningkat kepada 3,018,172 kes iaitu 90.4 peratus daripada keseluruhan kes.

Pada semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengesan sebanyak 16 lagi kluster baharu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang direkodkan 6,762 kluster dengan 510 kluster masih aktif.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 31,890 kes atau 99.44 peratus daripada 32,070 kes baharu yang dilaporkan semalam adalah dalam kategori satu dan dua, manakala hanya 180 kes atau 0.56 peratus bagi kategori tiga hingga lima.

"Berdasarkan pecahan kes kategori tiga hingga lima, 49 kes membabitkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap, menerima dua dos vaksin (93 kes) dan menerima dos penggalak (38 kes).

"Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) pula adalah sebanyak 327 kes membabitkan 135 kes disahkan Covid-19, manakala 192 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

"Terdapat 201 kes yang memerlukan bantuan pernafasan membabitkan 74 kes disahkan Covid-19 dan 127 kes disyaki, kemungkinan serta dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 11:15 AM