Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan terdapat 523 daftar masuk premis termasuk pasar raya membabitkan individu positif Covid-19 yang diarah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) di negeri ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, jumlah daftar masuk itu dikesan sepanjang minggu ini melalui aplikasi MySejahtera yang digunakan mereka di seluruh Kedah.

"Saya maklumkan kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bahawa ada berlaku 523 kali daftar masuk yang dikesan melalui aplikasi MySejahtera dikesan dalam tempoh seminggu.

"Jumlah 523 ini bukan individu, tetapi bilangan daftar masuk. Individu ini sepatutnya perlu kuarantin dan berada di rumah tetapi mereka dikesan keluar ke premis, malah 18 peratus daripadanya didapati ke pasar raya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama Muhammad Sanusi menghadiri Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) di Wisma Darul Aman.

Berikutan itu, Khairy meminta semua pemilik dan petugas di lokasi tumpuan agar sentiasa melakukan pengawasan ketat di pintu masuk premis mereka bagi menghalang individu di bawah HSO masuk.

"Nama individu menjalani HSO itu akan dihantar kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah untuk tindakan lanjut kerana mereka sepatutnya tidak boleh keluar.

"Pada masa sama, saya berharap Kedah dapat meningkatkan kadar vaksinasi di negeri ini berikutan terdapat 17 peratus penduduk dewasa didapati belum menerima suntikan dos pertama dengan perhatian adalah di daerah Baling dan Pendang yang terkebelakang dalam vaksinasi," katanya.

Khairy berswafoto dengan seorang penderma darah di Pusat Tabung Darah HUS, Kuching ketika lawatan kerja ke hospital itu hari ini. Foto Bernama
Khairy berswafoto dengan seorang penderma darah di Pusat Tabung Darah HUS, Kuching ketika lawatan kerja ke hospital itu hari ini. Foto Bernama

Beliau memaklumkan kebanyakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara semakin lengang dan tidak seramai seperti sebelum ini berikutan hampir 80 peratus populasi dewasa berkelayakan sudah menerima suntikan vaksin masing-masing.

Katanya, keadaan itu menyebabkan jumlah vaksin yang dibekalkan kepada PPV berkenaan adalah melebihi jumlah penerima yang perlu disuntik.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 7:12 PM