Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Inisiatif masuk terus tanpa janji temu (walk-in) yang diumumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin, Jumaat lalu, adalah untuk golongan yang tercicir dan belum mendapat janji temu masing-masing selepas tarikh itu.

Merujuk kepada satu mesej yang tular melalui media sosial hari ini, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata, inisiatif itu bukan untuk orang ramai yang sudah pun diberikan janji temu masing-masing.

CITF dalam satu kenyataan berkata, golongan yang belum mendapat janji temu membabitkan mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan, seperti yang diterangkan oleh Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini.

"Individu di Kuala Lumpur dan Selangor yang sudah mendaftar sebelum ini akan diberikan janji temu dalam masa terdekat. Individu yang masih belum mendaftar, tetapi tiada kekangan untuk berbuat demikian, juga digalakkan untuk mendaftar untuk vaksinasi secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama

Pada masa sama, CITF berkata, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang akan beroperasi untuk tujuan 'walk-in' pada Ogos nanti akan dikemas kini dan dimaklumkan kelak, manakala PPV sedia ada tidak semestinya akan dibuka untuk inisiatif itu.

Berikutan itu, CITF meminta mereka yang sudah menerima janji temu vaksin untuk menghadiri janji temu pada tarikh dan lokasi PPV yang diberikan.

"Ini mengambil kira kehadiran varian baharu yang lebih ganas, kes Covid-19 yang tinggi dan keperluan untuk mendapat perlindungan melalui vaksin secepat mungkin," katanya.

Terdahulu, satu mesej tersebar melalui aplikasi WhatsApp yang menyatakan bermula 1 Ogos ini, semua penduduk Selangor dan Kuala Lumpur yang berusia 18 tahun ke atas, yang masih tidak memperolehi vaksin boleh ke mana-mana PPV tanpa perlu mempunyai janji temu untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Mesej 'berantai' itu turun menyenaraikan 50 PPV serta jenis vaksin yang disediakan di pusat terbabit, sekali gus menimbulkan kebimbangan kemungkinan berlaku kesesakan.

Jumaat lalu, dalam sidang media khas CITF secara maya, Khairy dilaporkan berkata, mereka yang tidak ada dalam sistem Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tetapi menetap di Selangor dan Kuala Lumpur, serta ketinggalan dalam mendapatkan vaksin melalui PICK termasuk individu yang tidak memiliki dokumen pengenalan dan perjalanan, boleh mendapatkan imunisasi secara masuk terus tanpa janji temu di semua PPV di negeri itu.

Khairy dilaporkan berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan selepas operasi peningkatan kapasiti bagi meningkatkan pemberian vaksin kepada mereka yang sudah mendaftar sebelum ini, dijangka bermula pada 1 Ogos nanti.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 1:02 PM