Asrol Awang

Kuantan: Pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) bakal menerima suntikan vaksin akhir Julai depan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech itu akan diadakan di sekolah.

Menurutnya, suntikan vaksin itu adalah permintaan daripada Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin.

"Dr Radzi mahu memberikan suntikan vaksin itu kepada pelajar tingkatan lima dan enam yang bakal menduduki peperiksaan SPM dan STPM.

"Oleh itu, pelajar yang akan menduduki SPM dan STPM akan menerima suntikan dos pertama pada akhir Julai atau awal Ogos depan dan selepas tiga minggu, dos kedua akan diterima pelajar berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bertindak Program Imunisasi Covid 19 Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Semalam, Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) menyatakan keutamaan suntikan vaksin akan diberikan kepada pelajar bakal menduduki peperiksaan.

Ia susulan kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 1:58 PM