Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Jabatan Kesihatan Negeri Perak mengesahkan tidak menerima laporan pesakit Covid-19 Orang Asli melarikan diri ke dalam hutan seperti yang tular di media sosial beberapa hari lalu.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, tiada laporan rasmi diterima oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kampar mengenai perkara yang disebarkan itu sejak dua hari lalu.

Katanya, video pengebumian yang tular mendakwa di perkampungan Orang Asli Ulu Geroh, Gopeng itu berkemungkinan berlaku pada 14 September lalu membabitkan jenazah Orang Asli yang lewat sampai ke kampung iaitu kira-kira jam 7 malam.

"Oleh kerana petugas dan dua waris sudah ada dan menunggu di sana, jadi mereka teruskan pengebumian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video berdurasi 24 saat yang memaparkan anggota JKN lengkap memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) mengusung jenazah menyeberangi sungai.

Video yang tular beberapa hari lalu itu turut mendakwa seramai 250 orang Orang Asli di Gopeng positif Covid-19 selain ada yang melarikan diri masuk ke dalam hutan dan dikatakan terdapat enam kematian termasuk Tok Batin serta meminta orang ramai tidak mandi di sungai berdekatan.

Dr Ding berkata, dimaklumkan lokasi tapak pengebumian adalah di seberang sungai di kampung itu.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

"Hanya satu cara untuk menyeberangi sungai adalah melalui jambatan buluh berkenaan.

"Jenazah diuruskan sebagaimana urusan jenazah pesakit covid-19 iaitu dibalut dengan lapisan pelindung yang di buat prosedur disinfeksi dan jenazah berkenaan ditanam di tapak perkuburan kampung Orang Asli terbabit," katanya.

Beliau berkata, keselamatan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikawal rapi oleh polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan penempatan anggota secara tetap.

"Bantuan makanan asas di kawasan berkenaan turut disediakan dan diselaraskan oleh Jawatankuasa Bencana Daerah Kampar dan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

"Dimaklumkan semua dalam keadaan terkawal dan semua agensi sedang menjalankan tugas mereka ketika ini," katanya.

Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di perkampungan Orang Asli Ulu Geroh, Gopeng bermula 12 hingga 25 September susulan pengesanan 52 kes positif Covid-19 dengan 1 kematian pada 8 September lalu.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 204 kes positif kumulatif Covid-19 dilaporkan di Kampung Ulu Groh, Gopeng dengan enam kematian direkodkan dalam kalangan penduduk Orang Asli di situ sehingga Jumaat lalu.

"Daripada keseluruhan jumlah kes positif yang direkodkan sehingga kini, seramai 191 kes positif Orang Asli dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Sungkai, dua kes ke PKRC Arena Ipoh, 10 kes dimasukkan ke hospital dan satu kematian di rumah (BID)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 1:08 PM