GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Jangkitan dari tempat kerja termasuk kilang dikenal pasti punca penularan wabak Covid-19 dalam kalangan Orang Asli di daerah Batang Padang.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, ia kemudian membuatkan seramai 1,159 Orang Asli positif wabak itu dengan merekodkan 12 kematian setakat hari ini.

Katanya, kluster berkenaan seterusnya merebak ke komuniti Orang Asli terbabit.

"Tindakan kawalan jangkitan dijalankan melalui pengasingan dan rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Risiko Rendah Sungkai, khas bagi pesakit dalam kalangan Orang Asli.

"Selain itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) turut dikenakan ke atas 24 kampung (Orang Asli) yang terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas laporan beberapa portal berita dalam talian, semalam yang mendedahkan seramai 784 Orang Asli di Batang Padang dijangkiti Covid-19 dengan lapan kematian.

Sebagai rekod, PKPD dilaksanakan di lebih 20 perkampungan Orang Asli suku Semai di daerah Batang Padang selama 14 hari bermula semalam sehingga 24 Ogos ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Lay Ming berkata, sehingga kini seramai 10,221 orang atau 45.5 peratus Orang Asli di kampung pinggiran seluruh negeri sudah menerima dos pertama selaras dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya, susulan itu sasaran 80 peratus populasi dewasa Orang Asli bakal menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dijangka akan tercapai pada akhir bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 8:07 PM