Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Menguruskan empat pengebumian jenazah akibat Covid-19 dalam sehari cukup memberi cabaran kepada kami ketika ini," kata Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Mohd Zain Bahrum.

Menurutnya, sehingga hari ini Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Setar mengendalikan 26 kes pengebumian pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di daerah Kota Setar sejak 19 Mei lalu.

Mohd Zain berkata, setiap hari seramai 13 anggota diketuai pegawai bertugas dalam pengurusan pengebumian bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengendalikan kes berkenaan.

Katanya, selepas menerima mayat yang disempurnakan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, anggota APM Kota Setar akan menyelaras maklumat dan penghantaran jenazah atau mayat ke tempat pengebumian untuk disempurnakan.

"Paling banyak kes menguruskan jenazah yang kami terima setakat ini ialah empat kes sehari dan ia benar-benar memberi cabaran kepada kami melaksanakan tugas ini.

ANGGOTA APM Kota Setar melakukan tugasan mengendalikan pengebumian jenazah Covid-19 di daerah Kota Setar. FOTO ihsan APM
ANGGOTA APM Kota Setar melakukan tugasan mengendalikan pengebumian jenazah Covid-19 di daerah Kota Setar. FOTO ihsan APM

"Saya sebagai pegawai yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam APM Kota Setar ini juga turut memastikan anggota saya dalam keadaan baik dan sihat kerana mereka terpaksa melupakan sementara keluarga masing-masing ketika berdepan pandemik ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zain berkata, dengan menggunakan pakaian perlindungan peribadi (PPE), bahang panas dan tidak selesa itu tidak lagi dirasai kerana setiap hari mereka berdepan dengan tugas sama.

Katanya, jika ada keluarga mangsa Covid-19 mahu bersama melaksanakan pengebumian jenazah, anggotanya akan menyelia waris sepanjang tempoh itu.

Katanya, selain pengurusan jenazah di Kota Setar dan Pokok Sena, anggotanya turut terbabit dalam menjalankan tugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti yang membabitkan 22 orang termasuk pegawai dan anggota.

"Selain itu, seorang pegawai dan anggota ditempatkan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan dua anggota bersama sebuah ambulans APM ditugaskan untuk Transit dan Triage Centre (TTC) untuk mengambil dan membawa individu yang disyaki positif Covid-19 yang diselaraskan KKM ke Hospital Lama Alor Setar.

"Selain itu, 10 anggota APM Kota Setar terbabit dalam agihan bakul makanan manakala 20 anggota terbabit dengan ejen basmi Covid-19 manakala di Stesen Kuarantin pula anggota diletakkan dalam keadaan bersedia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 12:45 PM