LAMPU yang digunakan untuk menerangi kawasan kubur dan Shaari ketika bertugas. FOTO Ihsan Shaari Ramli.
LAMPU yang digunakan untuk menerangi kawasan kubur dan Shaari ketika bertugas. FOTO Ihsan Shaari Ramli.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Lelaki ini hanya berperanan menjaga lampu di Tanah Perkuburan Kampung Bertam Ulu, di sini.

Namun, dia menyimpan seribu satu cerita terutama ketika proses pengebumian jenazah pesakit Covid-19 yang disifatkan sangat sedih dan sayu.

Apa tidaknya, ahli keluarga mangsa sama ada anak, isteri, suami atau saudara hanya mampu melihat dari jauh proses pengebumian orang tersayang diiringi doa.

Bagi Shaari Ramli, 43, walaupun tidak terbabit mengurus jenazah pesakit Covid-19, namun dia terbabit dengan kerja penyediaan bekalan elektrik, wayar, lampu dan persiapan lain sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan pada waktu malam.

"Malah, saya juga perlu sentiasa bersedia sepanjang proses pengebumian kerana dibimbangi berlaku litar pintas, bekalan terputus dan cuaca buruk.

"Ini kerana pengebumian waktu malam lebih sukar, dan jika lampu bermasalah ia akan melambatkan proses pengebumian," katanya di sini.

Shaari berkata, setakat ini, dia sudah terbabit dengan tiga urusan kematian akibat Covid-19 termasuk di Bertam Ulu dan Bukit Rambai.

Katanya, selesai proses pengebumian kawasan persekitaran dan peralatan termasuk lampu dan barangan lain akan disanitasi sebagai langkah pencegahan.

"Malah kawasan kubur juga ditutup beberapa hari bagi mengelak kunjungan waris yang boleh mengundang jangkitan," katanya.

Shaari berkata, dia amat kagum dengan dedikasi petugas yang menguruskan jenazah dari awal sehingga akhir dalam keadaan lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE).

Menurutnya, dia yang terbabit dalam bidang ini sejak berusia 15 tahun mendapati inilah tugas yang mencabar pernah dilihat dalam pengurusan jenazah.

Justeru, dia bersyukur dapat melihat lebih dekat proses pengebumian pesakit Covid-19 sebagai satu pengajaran untuk dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 6:12 PM