GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Seramai 40 individu dikesan positif Covid-19 dipercayai berpunca daripada sambutan Kaamatan pada akhir bulan lalu, yang meledakkan kluster berkaitan komuniti di Sabah, hari ini.

Kluster Kionsom Kecil di Inanam, dekat sini tercetus selepas seorang lelaki berumur 31 tahun yang juga pekerja di sebuah syarikat di daerah itu disahkan positif Covid-19 melalui saringan bergejala di Jesselton Medical Centre pada 9 Jun lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, susulan itu, seramai 86 kontak rapat menjalani ujian saringan pada 12 dan 13 Jun lalu dengan 27 daripadanya disahkan positif wabak.

"Sehingga kini, jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah sebanyak 40 kes. Ada 34 sampel lagi masih menunggu keputusan, manakala 12 sampel didapati negatif," katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, semua kematian yang berlaku di luar hospital di Sabah akan diklasifikasikan sebagai positif Covid-19 sehingga ujian saringan menunjukkan sebaliknya.

Katanya, kematian itu juga perlu dilaporkan di balai polis berdekatan sebelum maklumat disalur kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan mayat diambil untuk dibawa ke hospital bagi menjalani ujian RT-PCR atau RTK Antigen.

"Jenazah yang disahkan positif Covid-19 akan diurus mengikut garis panduan kematian yang ditetapkan. Bagi yang beragama Islam, lokasi pengebumian akan ditentukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), manakala bagi agama lain akan ditentukan ketua agama di daerah masing-masing.

"Bagi jenazah yang tiada agama, lokasi pengebumian akan ditentukan ketua kampung. Pergerakan jenazah ke daerah lain hendaklah atas persetujuan PKD dan polis di tempat kematian berlaku," katanya yang memberitahu semua araha baharu itu berkuat kuasa hari ini.

Terdahulu, Sabah merekodkan 184 kes baharu positif Covid-19 dengan tiga kematian, masing dua di Tawau dan satu di Semporna, manakala seramai 226 sembuh.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 8:42 PM