KANAK-KANAK Orang Asli yang terbabit dalam kempen.
KANAK-KANAK Orang Asli yang terbabit dalam kempen.
KANAK-KANAK Orang Asli yang terbabit dalam kempen.
KANAK-KANAK Orang Asli yang terbabit dalam kempen.
HM Digital

Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak, oleh itu mereka cenderung memberi tumpuan kepada tahap pendidikan, pembangunan kemahiran dan aktiviti berstruktur yang berasaskan pencapaian demi pertumbuhan si kecil.

Kanak-kanak hari ini menghabiskan sebahagian besar masa di dalam rumah berbanding bermain dan belajar di luar.

Bermain penting bagi pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak kerana ia membabitkan pembelajaran yang membantu pembangunan kemahiran hidup penting dalam setiap kanak-kanak.

Kemahiran itu termasuk kreativiti, kerja berpasukan, komunikasi, penyelesaian masalah dan pemikiran kritikal.

Kanak-kanak dapat membentuk persahabatan, menguji keupayaan dan menyelesaikan masalah ketika bermain, membolehkan mereka menikmati zaman kanak-kanak dengan penuh keriangan.

Menerusi kempen global Hari Belajar Di Luar Bilik Darjah Breeze, kanak-kanak digalakkan keluar dan bermain setiap hari.

Pengarah Pemasaran Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd Vincent Chong berkata, jenama itu percaya aktiviti bermain di luar bilik darjah perlu menjadi sebagai sebahagian daripada aktiviti pembangunan dan pembelajaran setiap kanak-kanak.

Katanya, ini bukan saja akan meningkatkan pembelajaran mereka dan menggalakkan pembangunan yang sihat, tetapi juga kanak-kanak menjadi lebih gembira.

"Berada di luar dan berseronok ketika bermain, menerokai dan bergembira bersama-sama rakan sebaya adalah penting untuk perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak," katanya.

Sejajar kempen berkenaan, Breeze bekerjasama dengan Gobal Peace Foundation untuk menggalakkan aktiviti bermain dalam kalangan penduduk di Kampung Ulu Geroh, Perak. Kampung Ulu Geroh adalah salah satu perkampungan Orang Asli terbesar yang mempunyai 800 penduduk.

Bagi setiap pembelian bahan pencuci Breeze, RM1 disalurkan untuk kempen itu dengan sumbangan berjumlah RM20,000 dikumpul.

Semua sumbangan yang dikumpul kemudiannya digunakan untuk membeli peralatan sukan seperti bola sepak, sarung tangan, seluar serta jersi bola sepak, jaring, tiang serta bola sepak takraw dan raket badminton, bulu tangkis, jaring serta tiang badminton mudah alih.

Sumbangan itu akan memberi manfaat kepada 250 kanak-kanak serta remaja Kampung Ulu Geroh.

Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Foundation Dr Teh Su Thye berkata, sebelum ini kanak-kanak di komuniti berkenaan tidak mempunyai kemudahan untuk bermain.

Katanya, walaupun terdapat banyak ruang, namun mereka tidak mempunyai kemudahan untuk bermain sukan kegemaran seperti bola sepak, badminton dan sepak takraw.

Kemudahan itu katanya, penting bagi menggilap bakat mereka dan kini, kanak-kanak itu benar-benar dapat menikmati keseronokan bermain di luar bilik darjah.

"Kami melihat mereka mempunyai potensi besar untuk cemerlang dalam sukan selain berupaya mengeratkan lagi hubungan dalam komuniti berkenaan.

"Kanak-kanak kampung itu gembira kerana mereka kini boleh menganjurkan perlawanan persahabatan dengan remaja dari komuniti berhampiran. Ini akan meningkatkan keyakinan diri serta membentuk kemahiran sosial dan kepimpinan mereka," katanya.

Sempena Hari Belajar Di Luar Bilik Darjah, jenama itu akan meneruskan misinya untuk menggalakkan anak Malaysia melangkah keluar dan menikmati zaman kanak-kanak mereka.

Semua ibu bapa dan pendidik turut disarankan agar menyertai inisiatif global berkenaan serta melakukan transformasi terhadap pengalaman pembelajaran kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 3:18 PM