Mustapah Japar, 60 menunjukkan sijil vaksinasi. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Mustapah Japar, 60 menunjukkan sijil vaksinasi. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Peristiwa nelayan, Mustapah Japar, 60, dan 14 ahli keluarganya disahkan positif Covid-19 pada masa yang sama cukup menjadi ingatan buat lelaki berkenaan untuk sentiasa berwaspada terhadap bahaya pandemik ini.

Mustapah berkata, dia seisi keluarga hanya bertawakal kepada Allah SWT selepas disahkan dijangkiti virus terbabit, kira-kira sebulan lalu.

Pada masa sama, mereka sekeluarga juga terus menuruti saranan doktor untuk mengambil ubatan perlu.

"Saya cukup risau dan cemas apabila anak yang hamil turut disahkan positif Covid-19.

"Pada masa sama, seorang daripada menantu saya pula disahkan berada pada tahap empat dan dirawat di Hospital Melaka," katanya.

Menurut Mustapah, dia dan ahli keluarga lain menjalani kuarantin kendiri di rumah serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

Mustapah berkata, keluarganya juga tertekan daripada segi emosi berikutan jumlah kematian tinggi akibat Covid-19 yang direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.

"Banyak berita kematian, termasuk dalam kalangan rakan serta jiran memberi kesan kepada kami.

"Bagaimanapun, kami bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi kesembuhan malah kini dapat menjalani kehidupan seperti biasa," katanya yang menetap di Bukit Rambai di sini.

Mustapah turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang membantunya sekeluarga sepanjang tempoh sukar itu.

Pada masa sama, Mustapah yang juga Ketua Nelayan Pengkalan Tanjung Kling berkata, dia turut bersyukur dan lega selepas beberapa nelayan di kawasan berkenaan yang turut positif Covid-19 kini sudah sembuh sepenuhnya.

"Sebahagian besar daripada nelayan ini dijangkiti virus terbabit ketika keluar bekerja," katanya.

Pada masa sama, menurut Mustapah, kira-kira 40 ahli persatuan di kawasan berkenaan juga kerap menerima bantuan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyumbang barangan, termasuk bakul makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 3:59 PM