Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Melaka: Jabatan Kesihatan Negeri Melaka memerlukan masa kira-kira dua minggu, untuk mengesahkan varian virus yang menjangkiti seorang guru wanita yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka Datuk Dr Ismail Ali berkata, isu tular berkaitan kematian guru berkenaan yang dijangkiti varian baharu Covid-19, adalah tidak tepat.

Beliau berkata, survelan genomik sampel Covid-19 yang dijalankan oleh Institut Perubatan (IMR) adalah untuk mengenal pasti dan mengesahkan varian virus berkenaan.

"Ia merupakan proses yang kompleks dan mengambil masa dua minggu. Varian virus Covid-19 bagi arwah masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Justeru, beliau menyeru agar orang ramai berhenti menyebarkan berita tidak benar mengenai kematian guru berkenaan.

Mengulas mengenai kronologi kes kematian guru terbabit, Dr Ismail berkata, arwah mulai tidak sihat pada 5 Mei lalu dan mendapatkan rawatan sebanyak dua kali di klinik swasta berhampiran rumahnya, sebelum mengalami gejala batuk dan susah bernafas bermula 17 Mei.

"Pada 5 pagi 19 Mei, arwah ditemui tidak sedarkan diri dan mengalami kekejangan. Arwah terus dihantar ke Hospital Melaka, diberi bantuan pernafasan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan lanjut.

"Ujian pengesanan RT-PCR Covid-19 yang dijalankan ke atas arwah mendapati keputusan adalah positif dan keadaan arwah bertambah tenat sebelum disahkan meninggal dunia pada 19 Mei, 11.40 malam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 10:41 PM