Elyana.
Elyana.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Selepas ibunya Shamsidar Alias disahkan positif Covid-19 pada 16 Ogos lalu, kini adik lelaki penyanyi Elyana pula positif Covid-19. 

  Berita duka itu dikongsikan Elyana, 34, menerusi hantaran di Instagram (IG) dan memohon orang ramai mendoakan kesihatan ibu dan adiknya agar cepat pulih dari virus berkenaan.

   "Belum lagi mama saya sembuh, hari ini (semalam) adik lelaki kesayangan saya pula disahkan positif Covid-19.

   "Minta sangat rakan-rakan semua mendoakan kesembuhan adik saya, Eizad Ezmeer Emrizal dan mama Shamsidar Alias," katanya.

   Pada masa sama, penyanyi lagu Kalis Rindu ini melahirkan kerisauan terhadap bapanya agar tidak dijangkiti virus berbahaya itu.

   "Dan semoga papa saya yang tinggal serumah dengan mereka tidak dijangkiti. Saya risau sebab papa baru dapat satu dos vaksin.

   Terdahulu, Elyana melahirkan perasaan syukur apabila hanya ibunya yang positif Covid-19 manakala bapa dan adik lelaki sebelum ini dilaporkan negatif.

   Dia juga memberitahu ibunya kini menjalani kuarantin kendiri di Shah Alam dan sayangnya tidak dapat banyak membantu keluarganya kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

  Elyana kini menghidap kanser limfoma tahap empat sejak 2012 dan pada Jun lalu dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan radioterapi sebanyak 10 sesi.

  Ia berikutan kanser limfoma yang dihidapi sudah merebak ke dada, paru-paru, belakang rahim, usus dan beberapa bahagian badan yang lain.

   Selepas selesai menjalani sesi rawatan radioterapi itu, Elyana khabarnya akan menyambung rawatan kimoterapi pula, tidak lama lagi.

   Selain itu, dia juga sudah mendapat dos kedua vaksin Covid-19 pada 16 Ogos lalu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 12:46 PM