Mohd Zein Hussien bersyukur sempat mengambil vaksin dos pertama sebelum disahkan positif. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Mohd Zein Hussien bersyukur sempat mengambil vaksin dos pertama sebelum disahkan positif. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: "Sebaik tiga anak saya disahkan positif Covid-19, dunia saya gelap seketika. Tidak lama kemudian saya, isteri serta adik ipar juga disahkan positif virus sama," kata Mohd Zein Hussein, 56, yang kini masih berada di Hospital Melaka.

Menurutnya, nasib menimpa dia enam sekeluarga tidak dibayangkan berikutan mereka dalam keadaan sihat sebelum ini.

Ia bermula selepas anak pertamanya berusia 24 tahun yang bekerja di luar Melaka pulang ke kampung pada 18 Jun dan mengalami demam teruk beberapa hari selepas itu.

"Saringan Covid-19 dilakukan pada 22 Jun lalu mendapati anaknya itu positif dijangkiti Covid-19

"Malah wabak berkenaan turut menjangkiti dua anaknya berusia 21 dan 22 tahun selain isteri dan adik iparnya yang turut tinggal serumah di kampung Kelemak di sini," katanya.

Menurutnya, dia mengalami demam panas, batuk, selsema dan cirit birit yang teruk akibat jangkitan itu.

"Saya hanya terbayangkan kematian namun tetap berdoa diberikan kesembuhan. Dalam masa sama, ahli keluarga yang lain dimasukkan ke hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

"Apapun saya bersyukur kerana sudah menjalani proses vaksinasi dos pertama beberapa hari sebelum didapati positif Covid-19. Doktor memaklumkan antibodi saya semakin kuat dan tidak perlu menggunakan bantuan pernafasan," katanya.

Dia berkata, adik iparnya masih memerlukan bantuan pernafasan sehingga ke hari ini selain memerlukan rawatan yang lebih rapi.

Mohd Zein berkata, selepas genap seminggu dirawat di Hospital Alor Gajah diikuti di Hospital Melaka, kesihatannya semakin baik.

Dia mengakui wabak berkenaan amat bahaya dan tidak mengenal mangsa.

"Saya memohon komuniti yang belum mendaftar pengambilan vaksin segera berbuat demikian kerana ia boleh mengurangkan risiko jangkitan yang teruk dan kritikal.

"Saya lega kerana doktor memaklumkan antibodi saya mampu melawan virus itu selepas divaksin. Malah antibodi tubuh semakin kuat berbanding sebelum pengambilannya.

Dia yang juga seorang peniaga kedai makan berkata, sokongan doktor, pegawai perubatan dan staf hospital amat dihargai kerana melayannya dengan baik.

Sementara itu, isterinya Noor Baya Mohd Rifin, 42 berkata, dia juga tidak menduga positif wabak berkenaan kerana kebiasaannya hanya mendengar berita di akhbar dan media sosial berkaitan jangkitan kepada komuniti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 5:24 PM