GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyediakan peruntukan sebanyak RM1.4 juta bagi membantu 164 maahad tahfiz, madrasah serta pondok di negeri ini yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, bantuan fasa dua itu membabitkan RM360,000 kepada 1,200 guru dan kakitangan, yang menerima RM300 setiap seorang.

Baginda bertitah, sebanyak RM680,000 lagi untuk kegunaan pengurusan dan utiliti yang perlu diselesaikan sepanjang premis itu tidak dapat beroperasi kerana PKP 3.0.

"Bantuan fasa pertama sebelum ini diberikan secara sekali bayar sebanyak RM360,000 diberikan kepada 1,200 guru dan kakitangan institusi tahfiz di negeri ini dan masing-masing menerima RM300 seorang.

"Sumbangan berkenaan diharap dapat meringankan beban mereka yang terjejas sepanjang PKP 1.0 tahun lalu," titah baginda.

Beliau bertitah demikian pada Majlis Liqa' Mahabbah Bersama Pengetua Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok di negeri ini yang diadakan secara dalam talian, di sini kelmarin.

Turut sama Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Othman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Dr Zulkiflie Ali.

Baginda bertitah, dalam tempuh lapan bulan sejak Januari tahun ini MUIP sudah menyalurkan bantuan khas kepada maahad tahfiz, madrasah dan pondok di negeri ini sebanyak RM2.06 juta membabitkan bantuan Ihya Ramadan, penyelenggaraan dan baik pulih kecil fasa pertama dan kedua.

Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah bertitah, MUIP akan terus berusaha membantu meringankan beban institusi pendidikan Islam di negeri ini yang tidak dapat beroperasi sepanjang PKP berikutan penularan wabak Covid-19.

"Bagi pihak MUIP saya merakamkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri serta pembayar zakat di negeri ini termasuk semua pihak yang membantu institusi pendidikan Islam dalam meneruskan sesi persekolahan norma baharu," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 1:23 PM