GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Asrol Awang

Kuantan: Seramai 42,464 daripada 42,875 remaja berusia 16 tahun dan 17 tahun atau 99 peratus di Pahang sudah lengkap menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 setakat semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia pencapaian membanggakan bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Remaja Pahang sejak dimulakan pada 20 September lalu

Justeru, katanya, baki 411 pelajar akan menerima suntikan vaksin berkenaan seperti yang disasarkan JKN Pahang dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang.

"Setakat ini, JPN dan JKN sedang berusaha untuk memastikan baki pelajar itu supaya mereka mendapatkan suntikan segera.

"Ini kerana sebelum ini mereka tidak hadir seperti yang dijadualkan kerana tidak sihat dan sedang menjalani kuarantin," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Secara keseluruhannya, Pick Remaja di negeri ini membabitkan 173,000 orang berusia 12 tahun hingga 17 tahun.

Ia membabitkan pelajar sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta dari Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Selain itu, pelajar dari Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Maahad Tahfiz Negeri Pahang serta institusi swasta, termasuk institusi tahfiz, pondok dan madrasah persendirian.

Sementara itu, Dr Nor Azimi berkata, vaksinasi kepada remaja 12 tahun hingga 17 tahun yang mempunyai masalah kesihatan sudah bermula pada 15 September lalu.

Katanya, mereka menerima suntikan di lima hospital di Pahang iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA), di sini, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh; Hospital Pekan, Hospital Kuala Lipis dan Hospital Bentong.

"Sehingga semalam, seramai 656 remaja yang mempunyai masalah kesihatan sudah diberi suntikan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 5:28 PM