Petugas masjid meletakkan kon tidak membenarkan sesiapa masuk ke kawasan masjid.
Petugas masjid meletakkan kon tidak membenarkan sesiapa masuk ke kawasan masjid.
Asrol Awang


SEMUA aktiviti keagamaan di masjid dan surau di seluruh Pahang ditangguhkan susulan lanjutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April depan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah bertitah, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pahang pada 26 Mac lalu.

Titahnya, semua aktiviti di masjid negeri, daerah dan kariah serta surau ditangguhkan tanpa ada pengecualian.

“Masjid hanya dibenarkan melaungkan azan oleh muazin bertugas, manakala solat berjemaah didirikan bersama ahli keluarga di rumah masing-masing.

“Solat Jumaat tidak boleh dilaksanakan di rumah dan digantikan dengan solat Zuhur,” titahnya dalam kenyataan, hari ini.

Tengku Amir Nasser Ibrahim bertitah, lanjutan tempoh penangguhan itu tertakluk kepada pengumuman dari semasa ke semasa.

Titahnya, semua pihak yang terbabit dengan pengurusan masjid dan surau di Pahang perlu mematuhi arahan berkenaan.

“Umat Islam diminta bersama-sama memohon doa kepada Allah SWT semoga wabak Covid-19 segera berakhir dan Pahang beroleh perlindungan Allah daripada wabak dan bencana,” titahnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 6:53 PM