Oleh Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyumbang hampir RM22 juta bagi membantu penduduk negeri ini yang terjejas akibat Covid-19.

Bantuan itu disalurkan kepada kira-kira 20,000 penerima sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu sehingga kini.

Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz bertitah, sumbangan itu daripada hasil zakat dan baitulmal.

Titah Tengku Tan Sri Mohamad Rizam, sumbangan itu termasuk hari ini, membabitkan peruntukan lebih RM46,000 kepada 82 keluarga di Kampung Dalam Huma, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika ini.

"Setiap keluarga menerima RM500 dan sumbangan pek makanan, selain bantuan RM5,000 kepada Madrasah Ad-Diniah Al Falahiah.

"Ia bagi membantu guru pondok dan pelajar yang terkesan akibat Covid-19," titah baginda ditemui pada Majlis Pengurniaan Sumbangan Penduduk Terjejas Covid-19 Jajahan Pasir Puteh di Kampung Gong Jenarah di sini, hari ini.

Turut mencemar duli Tengku Puan Temenggong, Puan Sri Tunku Datuk Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj.

Tengku Tan Sri Mohamad Rizam yang juga Yang Dipertua MAIK bertitah, majlis pengurniaan kepada penduduk melambangkan komitmen berterusan MAIK yang terkesan akibat pandemik itu.

Titah Tengku Tan Sri Mohamad Rizam, sumbangan itu lebih kepada tambahan bantuan kepada penduduk memandangkan keperluan makanan asas disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pemimpin setempat di kawasan masing-masing.

"Ada yang kita bekalkan wang tunai kerana bila berlaku PKP, mereka tidak dapat keluar jadi mereka kehilangan sumber pencarian kerana tidak boleh bekerja.

"Jadi dalam tempoh sebulan ini, mereka tidak ada sumber pencarian langsung, jadi ini yang MAIK pandang, mereka memerlukan sumber kewangan untuk mulakan kerja semula," titah Tengku Tan Sri Mohamad Rizam.

Tengku Tan Sri Mohamad Rizam bertitah, MAIK juga tiada halangan untuk memberi bantuan lain yang bersesuaian.

Dalam perkembangan lain, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam bertitah, madrasah Ad-Diniah Al Falahiah tidak berdaftar di bawah MAIK dan meminta orang ramai mengambil pengajaran atas jangkitan Kluster Huma dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 1:28 PM