SYED Ibrahim (kanan) ketika melawat pondok Madrasah Al-Imaniyah di Kampung Darat Sungai Ular yang terbakar semalam.FOTO Mohd Rafi Mamat
SYED Ibrahim (kanan) ketika melawat pondok Madrasah Al-Imaniyah di Kampung Darat Sungai Ular yang terbakar semalam.FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Kerajaan negeri Pahang menghulurkan bantuan kewangan segera kepada Madrasah Al-Imaniyah di Kampung Darat, Sungai Ular, di sini, selepas 33 daripada hampir 100 pondoknya musnah dalam kebakaran, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pihaknya menunggu laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri mengenai kejadian untuk memudahkan urusan bantuan akan datang.

"Buat masa ini, kita memberi bantuan segera dahulu kira-kira RM5,000 dan sedang tunggu laporan penuh pihak bomba.

"Kita sedih tetapi tetap bersyukur kerana tiada yang kehilangan nyawa dalam kejadian berkenaan," katanya kepada selepas meninjau tempat kejadian, di sini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga mencadangkan pengurusan pondok berkenaan untuk membina bangunan baharu yang lebih selamat dan selesa bagi mengelak kejadian serupa daripada berulang.

Katanya, kerajaan negeri dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang (Muip) akan membiayai pembinaan bangunan baharu berkenaan sekiranya cadangan itu dipersetujui pengurusan pondok berkenaan.

"Kita fikirkan untuk jangka masa panjang dan mencadangkan supaya kita bekerjasama membina bangunan baharu yang lebih selamat dengan dipantau pihak bomba, kerajaan tempatan dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada persetujuan pengurusan pondok berkenaan, sekiranya setuju mereka perlu bersedia untuk mengikut prosedur ditetapkan supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi," katanya.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 2:53 PM