GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Polis Perak belum ada sebarang cadangan untuk menutup atau mengurangkan sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negeri itu memandangkan ia masih berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, setakat ini pihaknya mengekalkan 58 SJR di seluruh negeri ini terutama di kawasan keluar dan masuk ke Perak.

"Kita masih di Fasa 2 PPN dan kegiatan rentas negeri tidak dibenarkan lagi (manakala) rentas daerah hanya kepada mereka yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19. Ketika ini di Perak juga belum sampai satu peringkat yang memuaskan (kadar vaksin lengkap).

"Jadi apabila melalui sekatan jalan raya, polis perlu periksa untuk pastikan kesahihan mereka yang sudah mendapatkan dua dos vaksin.

"Justeru itu, SJR di Perak dikekalkan terutama yang bersempadanan dengan negeri lain seperti Pahang, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor sehingga satu keputusan lain dibuat oleh pihak kerajaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, hari ini.

Berhubung pematuhan dan jumlah pengunjung ke lokasi rekreasi dan riadah termasuk di pantai awam di negeri ini, Mior Faridalathrash berkata, setakat ini ia adalah terkawal.

Katanya, kadar pematuhan SOP di negeri ini baik dan pihaknya mengeluarkan kompaun harian antara 25 hingga 30 kes sehari di seluruh Perak.

"Kita ada pasukan pemantau dan jika ada aduan pelanggaran prosuder operasi standard (SOP), maka pasukan ini akan turun untuk memastikan pematuhan itu dikekalkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 6:19 PM