MIOR Faridalathrash (dua dari kiri) memeriksa kenderaan melalui SJR di Plaza Tol Ipoh Selatan, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
MIOR Faridalathrash (dua dari kiri) memeriksa kenderaan melalui SJR di Plaza Tol Ipoh Selatan, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seorang lelaki ditahan sejurus cuba merasuah anggota polis sebanyak RM150 sewaktu melepasi sekatan jalan raya (SJR) di susur keluar Sungkai, Lebuhraya Utara Selatan (Plus) berdekatan Bidor, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, perbuatan lelaki berusia 47 tahun itu sebagai dorongan untuk dilepaskan memandangkan suspek tidak mempunyai surat kebenaran merentas negeri dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, ketika kejadian 4.30 petang itu, suspek turut membawa bersama tiga lelaki warganegara Bangladesh dalam kereta dipandunya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala Teluk Intan.

"Keempat-empat mereka ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan mendapati tiga warga asing yang ditahan bersama suspek mempunyai dokumen sah," katanya pada sidang media sewaktu mengadakan lawatan kerja di Plaza Tol Ipoh Selatan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, SJR dibuat di 33 lokasi seluruh Perak termasuk empat SJR bagi penugasan Op Benteng, membabitkan 290 keanggotaan PDRM serta 209 keanggotaan Pasukan Sahabat.

Beliau berkata, biarpun penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) mengekang wabak Covid-19 bertambah ketat, pihaknya masih mengamalkan naluri kebersamaan (common sense) khususnya dalam mengawal kesesakan trafik yang berlaku sewaktu di SJR.

Katanya, pengamalan kepada 'common ssense' adalah jawapan mengenai sebilangan kenderaan ditahan sewaktu SJR manakala sebahagian kenderaan lagi dilepaskan tanpa diperiksa.

"Seperti mana sedia maklum, Perak bersempadan dengan lima negeri dan kesesakan teruk sering berlaku terutama pada hujung minggu, jadi kita guna 'common sense' untuk kenal pasti kenderaan mana yang rentas negeri atau penduduk negeri ini.

"Biasanya jika kenderaan bernombor plat dari Perak atau bermula dengan 'A', daripada 'common sense' kita dapat tahu ia orang (asal) Perak.

"Jadi untuk mengelakkan kesesakan terlalu panjang, kita utamakan untuk memeriksa kenderaan dengan plat selain daripada A," katanya.

Ditanya mengenai kompaun pelanggaran SOP yang ditingkatkan kepada RM10,000 berkuatkuasa semalam, beliau berkata, tiada sebarang kompaun berkenaan dikeluarkan PDRM Perak setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 7:54 PM