MIOR Faridalathrash meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Ipoh Utara Arah Selatan (Jelapang). FOTO Balqis Jazimah Zahari.
MIOR Faridalathrash meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Ipoh Utara Arah Selatan (Jelapang). FOTO Balqis Jazimah Zahari.
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Pekerja swasta dikompaun RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri di daerah Tanjung Malim di sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis menerima aduan daripada orang ramai memaklumkan terdapat rumah yang dihadiri ramai tetamu sebelum anggota membuat pemeriksaan pada 5.45 petang.

"Ketika polis tiba pemilik rumah berusia 31 tahun mengaku menganjurkan rumah terbuka untuk kawan-kawannya.

"Jadi, kita mengeluarkan kompaun sejumlah RM2,000 kepada pemilik rumah atas kesalahan berkenaan," katanya pada pemberita ketika meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Ipoh Utara Arah Selatan (Jelapang) di sini hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi SOP dengan tidak menganjurkan rumah terbuka atau melakukan aktiviti kunjung mengunjungi dalam keadaan pandemik sedang memuncak berikutan kadar jangkitan di Perak ini tinggi.

"Kita bukan kejam sangat nak buat pemeriksaan rumah ke rumah, tetapi kalau ada aduan kita terpaksa ambil tindakan kerana kadar jangkitan di Perak ini terlampau tinggi," katanya

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Polis Perak sudah mengeluarkan 116 kompaun dengan kadar pematuhan sebanyak 96 peratus sejak 12 Mei hingga semalam.

"Dalam tempoh sama sebanyak 8,807 permohonan untuk rentas daerah dan negeri yang dibuat kepada balai polis di seluruh negeri ini.

"Daripada jumlah berkenaan sebanyak 160 permohonan ditolak kerana permohonan itu dibuat atas dasar sosial iaitu untuk menziarahi orang tua, saudara mara, kenduri dan sebagainya, jadi kita tidak benarkan," katanya.

Katanya, dalam tempoh sama, terdapat 185 kenderaan yang diarah berpatah balik di SJR lebuh raya dan 146 buah kenderaan di SJR jalan persekutuan.

"Ada juga yang menyalahgunakan permit alasan untuk balik berjumpa dengan isteri atau suami bagi pasangan jarak jauh, tetapi apabila kita membuat pemeriksaan di SJR didapati pasangan suami isteri dalam kereta berkenaan dan rupanya hendak balik kampung.

"Jadi, kita menasihati kepada mereka yang cuba menyalahgunakan permohonan rentas negeri, kerana kita boleh mengambil tindakan kompaun dan juga membuat laporan polis jika membuat permohonan palsu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 12:01 PM