Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Pemeriksaan Sekatan Jalan Raya (SJR) di beberapa sempadan utama dalam negeri akan diperketatkan bagi memastikan tiada cubaan merentas negeri di sepanjang Ramadan ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ini kerana laluan berkenaan menjadi laluan utama untuk mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) merentas negeri untuk pulang berhari raya.

"Sebagai contoh, sempadan Perak dan Pahang, ini adalah laluan utama untuk mereka balik ke Kelantan dan hendak ke Pahang.

Inilah 'check point' yang mana kita akan membuat pemeriksaan lebih ketat sepanjang tempoh Ramadan.

"Ini lebih-lebih lagi apabila hendak menyambut hari raya nanti, ramai orang akan bergegas pulang ke kampung halaman masing-masing," katanya ketika hadir pada Program Singgah Sahur di Sekatan Jalan Raya (SJR) Jalan Cameron Highlands di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, justeru beliau menegaskan tindakan akan dikenakan terhadap mereka yang melanggang SOP dengan merentas negeri atas tujuan itu.

"Kita memberi peringatan, jangan ada diantara kita yang cuba untuk keluar rentas negeri sepanjang tempoh Ramadan ini dan sambutan raya.

"Sekiranya jumpa kita akan mengambil tindakan tegas mengenakan kompaun dan mengarahkan mereka balik semula ke destinasi asal," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi peringatan kepada masyarakat di dalam daerah yang mahu meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung halaman untuk berhari raya.

"Jika tinggalkan rumah, kampung halaman dan sebagainya tinggalkan pesan kepada balai berdekatan, agar anggota boleh meninjau rumah mereka agar tidak berlaku kegiatan jenayah ketika mereka meninggalkan rumah sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri ini," katanya.

 Mior Faridalathrash pada sidang media di Program Singgah Sahur Daerah Ipoh di Sekatan Jalan Raya, Simpang Pulai-Cameron Higlands. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Mior Faridalathrash pada sidang media di Program Singgah Sahur Daerah Ipoh di Sekatan Jalan Raya, Simpang Pulai-Cameron Higlands. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 10:49 AM