Vaksinator memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam. FOTO DANIAL SAAD
Vaksinator memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam. FOTO DANIAL SAAD
Mohamad Fahd Rahmat


Mersing: Seramai 423 Orang Asli suku kaum Jakun di Kampung Orang Asli Tewowoh, Punan dan Peta di sini, menerima suntikan dos pertama vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang berlangsung pada Ahad dan Isnin lalu.

Pegawai Kesihatan Daerah Mersing, Dr Norzaher Ismail berkata, tiga lagi daripada komuniti berkenaan pula menerima suntikan dos kedua.

Katanya, jumlah keseluruhan vaksin Pfizer dan Sinovac adalah sebanyak 426 dos selain menyifatkan program itu berjaya mencapai matlamat selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti berkelompok di negara ini.

"Antara yang terbabit adalah kakitangan dan pegawai kerajaan di Mersing termasuk Jabatan Kesihatan Daerah, Pejabat Daerah , Jabatan Kemajuan Orang Asli Jakoa, pejabat tanah, selain sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Kami berdepan dengan pelbagai cabaran bagi melaksanakan pemberian vaksin kepada komuniti Orang Asli termasuk mereka menerima maklumat yang salah menerusi media sosial.

"Keadaan itu menyebabkan pendirian mereka mengenai vaksin berubah-ubah dan enggan mengambilnya kerana bimbang kesan buruk yang dikatakan terjadi selepas itu.

"Oleh itu, kami turun padang memberi penerangan mengenai persoalan-persoalan yang timbul dan alhamdulillah akhirnya mereka menerima penjelasan yang tepat serta bersetuju mengambil vaksin ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 4:41 PM