ISA (tengah) meninjau proses vaksinasi masyarakat Orang Asli di SK Tiga Serangkai, Parit  Sulong, Batu Pahat, baru-baru ini. FOTO Ihsan Pembaca.
ISA (tengah) meninjau proses vaksinasi masyarakat Orang Asli di SK Tiga Serangkai, Parit Sulong, Batu Pahat, baru-baru ini. FOTO Ihsan Pembaca.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Orang Asli tidak seharusnya mengabaikan vaksin atau prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan alasan mereka memiliki imunisasi semula jadi dengan minum air Tongkat Ali atau air herba bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Ahli Dewan Negara (Senator Orang Asli Semenanjung), Datuk Isa Ab Hamid berkata, kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan Orang Asli semakin membimbangkan iaitu mencatat 418 kes sehingga Selasa lalu.

Beliau berkata, lebih malang, empat Orang Asli yang berasal daripada keluarga sama juga terkorban di seluruh Johor.

Menurutnya, sehingga kini jangkitan membabitkan 27 kampung Orang Asli di seluruh Johor di 12 kawasan Parlimen.

Katanya, ia termasuk Iskandar Puteri, Pontian, Pengerang, Muar, Batu Pahat, Ledang, Pagoh, Labis, Mersing, Sembrong dan Tenggara, manakala terbaru membabitkan Kampung Orang Asli Kuala Masai, Pasir Gudang dikesan pada 25 Ogos lalu.

"Kes tertinggi dicatatkan dalam kalangan Orang Asli di Kampung Orang Asli Kuala Masai membabitkan 235 kes, diikuti 88 kes di Kampung Orang Asli Peta, Endau, Mersing dikesan pada 18 Ogos lalu dan 17 kes di Kampung Orang Asli Sungai Layau di Penawar, Pengerang dikesan pada 1 Ogos lalu.

"Selain itu kes di Kampung Orang Asli Selai, Bekok, Labis dikesan pada 16 Ogos lalu selain enam kes masing-masing di Kampung Orang Asli di Kampung Simpang Arang, Iskandar Puteri serta Kampung Orang Asli Punan di Endau, Mersing dikesan pada 15 Ogos lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, empat kes kematian membabitkan Orang Asli dilaporkan di Kampung Sungai Layau antara 1 hingga 5 Ogos lalu dan mereka berasal daripada keluarga sama.

Menurutnya, sehingga kini hanya Kampung Orang Asli Kuala Masai dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 25 Ogos lalu manakala Kampung Orang Asli Peta tidak dikenakan PKPD walaupun 88 penduduknya positif pada 20 Ogos lalu.

Katanya, setakat ini, seramai 4,020 Orang Asli sudah menerima dos pertama manakala 1,759 lagi sudah menerima dos kedua.

Sementara 7,866 belum divaksin dengan 5,523 sudah setuju untuk divaksin dan 1,651 menolak vaksin.

"Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan pihak berkaitan sudah mengedarkan 8,219 borang suntikan vaksin di semua kampung Orang Asli di negeri ini dan setakat ini 7,174 borang sudah dikembalikan.

"Ketika ini Jakoa dan pihak berkaitan akan memberi tumpuan untuk proses vaksinasi kepada Orang Asli namun usaha ini kita lihat masih perlahan serta terdapat Orang Asli tidak menyedari kepentingan vaksin.

"Ia kerana ada dalam kalangan mereka percaya mempunyai imunisasi semulajadi kerana minum air Tongkat Ali atau air ketum sekali gus mempunyai persepsi tidak perlukan vaksinasi.

"Lagipun kebanyakan kampung Orang Asli di Johor tidak jauh dari pusat pemberian vaksin (PPV), tidak seperti di Perak yang perlu naik kenderaan pacuan empat roda selama empat atau lima jam sejauh 40 hingga 80 kilometer untuk ke PPV," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 4:51 PM