TANAMAN sawah padi yang dinaiki air akibat hujan lebat berterusan di Kampung Air Papan, Mersing. FOTO Bernama
TANAMAN sawah padi yang dinaiki air akibat hujan lebat berterusan di Kampung Air Papan, Mersing. FOTO Bernama
BERNAMA

Mersing: Penduduk daerah ini bersiap siaga untuk menghadapi ancaman gelombang kedua banjir susulan hujan berterusan sejak malam semalam.

Pegawai Daerah Mersing, Mohd Radzi Mohd Amin berkata, persediaan itu turut membabitkan agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain itu, empat pusat pemindahan sementara (PPS) banjir masih beroperasi manakala empat ditutup berikutan air banjir sudah surut di beberapa kawasan.

"Setakat pagi ini, empat PPS yang masih aktif adalah di Politeknik Mersing; Sekolah Kebangsaan (SK) Labung; SK Pusat Air Tawar, Endau dan di SK Bandar Endau yang baru dibuka petang semalam," katanya pada sidang media di Pejabat Daerah Mersing, di sini hari ini.

Beliau juga berkata, berikutan banjir bermula Sabtu lalu, terdapat lima Kampung Orang Asli terputus hubungan iaitu Kampung Peta; Kampung Punan; Kampung Tanah Abang; Kampung Tewowoh, dan Kampung Tanjung Tuan hingga menjejaskan seramai 1,610 penduduk daripada 412 keluarga.

Bagaimanapun, Mohd Radzi berkata, penghantaran bantuan keperluan asas disampaikan oleh pegawai Pejabat Daerah Mersing kepada penduduk di Kampung Tanjung Tuan dan Kampung Punan semalam

"Bantuan juga akan disampaikan kepada 365 penduduk di Kampung Peta hari ini," katanya.

Sementara itu, tinjauan di sekitar bandar Mersing mendapati keadaan lengang walaupun tiada kejadian banjir dengan kebanyakan kedai serta hotel ditutup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 3:50 PM