Amir Abd Hamid


Sepang: "Tak takut pun, tak sakit pun. Ambillah vaksin, sedangkan mak cik pun berani. Memang dah lama saya tunggu nak dapat vaksin, kita kan nak bebas (pandemik Covid-19)," itu kata warga emas Orang Asli masyarakat Temuan, Atah Sutip, 61.

Beliau yang tersengih gembira ditemui selepas menerima dos pertama vaksin Covid-19 Sinovac dalam Program Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak untuk komuniti Orang Asli di Balai Raya Kampung Orang Asli Sungai Buah, di sini, hari ini.

Atah berkata, jika pandemik berlarutan, susah untuknya bergerak dan bercampur gaul, tambahan pula dia bekerja sebagai pekerja landskap.

Menurutnya, hasratnya kini adalah memujuk suami yang buat masa ini masih enggan menerima vaksin berikutan termakan dakyah tidak betul mengenai kepentingan vaksin.

Sementara itu, galakan ibu ternyata sangat berkesan untuk sesebuah keluarga mengambil vaksin Covid-19.

Ini terbukti apabila seorang lagi penerima vaksin, Sela@Paya Akaw, 48, dapat membawa lima anaknya berusia 21 hingga 28 tahun ke PPV Bergerak untuk bersama-sama menerima vaksin.

"Saya rasa selamat dan gembira sudah divaksin. Lebih rasa terlindung untuk ke mana-mana seperti ke kedai membeli barang dan pergi kerja.

"Pergilah cucuk vaksin. Senang untuk kita juga mengelakkan penularan penyakit Covid-19. Untuk kebaikan sendiri dan keluarga," kata ibu tunggal yang bekerja sebagai pekerja pembersihan itu.

Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Daerah Sepang, Mohamed Rasaki Abdul Majid berkata, berdasarkan peringkat awal merujuk kepada borang maklum balas pemberian vaksin dari Jakoa, masih ramai yang menolak vaksin.

Beliau berkata, ramai juga masyarakat Orang Asli yang tidak bersetuju menerima vaksin sebab masih belum memahami kepentingan vaksin.

"Secara keseluruhan sehingga jam 10 pagi tadi (semalam), rumusan borang pendaftaran vaksinasi mendapati daripada 2,740 penduduk Orang Asli di daerah berusia 18 tahun ke atas yang layak menerima vaksin, hanya 879 orang menyatakan persetujuan manakala 1,861 lagi tidak bersetuju.

"Ini bermakna setakat ini 32.1 peratus sahaja bersetuju divaksin. Ia membabitkan 18 kampung Orang Asli di daerah Sepang.

"Usaha mengajak masyarakat Orang Asli terima vaksin adalah berterusan seperti hebahan di media sosial dan dalam komuniti Orang Asli menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung," katanya.

Menurutnya, hari ini seramai 14 petugas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang terbabit dalam program yang bermula jam 9 pagi hingga 4 petang dan dijadualkan diteruskan di PPV Bergerak lain sehingga 24 Julai ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata, program itu hasil usahasama Jakoa, Kementerian Kesihatan Malaysia dan PKD membabitkan tiga kampung iaitu Kampung Orang Asli Sungai Buah, Kampung Orang Asli Sungai Buah Dalam dan Kampung Orang Asli Bukit Tunggul untuk hampir 200 penerima.

Beliau berkata, masyarakat Orang Asli boleh menerima vaksin mereka walaupun dengan datang terus ke PPV Bergerak itu dan menggunakan pendaftaran manual.

"Program ini akan diteruskan dalam masa seminggu dengan menjelajah setiap kampung Orang Asli dalam daerah Sepang.

"PPV Bergerak dimaksudkan bukanlah trak datang ke kampung sebaliknya permintaan khas kita daripada pihak berkaitan dalam memberi vaksin untuk komuniti yang memerlukan. "Sambutan di peringkat awal 50-50 mungkin sebab terlampau menerima maklumat tidak benar mengenai vaksin. Namun usaha sedang dilakukan," katanya.

Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Buah, Juli Belat, 51, berkata, ahli jawatankuasa kampung pergi ke rumah penduduk selain berkongsi hasil daripada pemberian vaksin di Hospital Orang Asli Gombak termasuk gambar dan video untuk menggalakkan penerimaan vaksin menerusi kumpulan WhatsApp kampung.

"Ramai masih mempersoalkan kenapa perlu vaksin. Itu normal sebagai manusia, bukan Orang Asli sahaja malah semua bangsa ada segelintir menganggap vaksin tidak penting sedangkan sebaliknya ia untuk kepentingan bersama.

"Kita duduk bersama mereka, bersembang dengan orang tua dan inisiatif ini semakin diterima secara perlahan-lahan," katanya.

ATAH dari Kampung Orang Asli Sungai Buah gembira selepas menerima dos pertama vaksin pada PPV Bergerak Komuniti Orang Asli. FOTO Hazreen Mohamad
ATAH dari Kampung Orang Asli Sungai Buah gembira selepas menerima dos pertama vaksin pada PPV Bergerak Komuniti Orang Asli. FOTO Hazreen Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 1:42 PM