ISTANA Negara.
ISTANA Negara.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Umno menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sekali lagi hari ini menzahirkan pandangan Parlimen perlu bersidang secepat mungkin.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua parti sudah bersetuju perkara itu.

"Ya, kita pun memang semua sudah bersetuju.

"Tidak ada parti pun yang tidak bersetuju.

Umno pun menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong iaitu untuk Parlimen bersidang secepat mungkin.

"Tadi dah pun Speaker Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Negara sudah jumpa mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

"Jadi kita tunggulah apa keputusan. Kita pun tak tahu. Belum ada berita lagi setakat inikan? Kita tunggulah," katanya mengulas kenyataan Istana Negara, hari ini.

Terdahulu, baginda bertitah persidangan Parlimen itu bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat yang dikeluarkan dapat dibentang seperti termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi mesyuarat untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hari ini, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bersama timbalan mereka di Istana Negara.

Titah mengenai persidangan Parlimen ini sekali lagi dibuat Al-Sultan Abdullah yang bertitah perkara sama sebelum ini selepas berkenan menerima mengadap ketua parti politik negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 6:56 PM