GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi

Seremban: Seorang lelaki didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Seremban di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen.

Majistret Mahyun Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap Lai Tian Shen, 19, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, Tian Shen didakwa membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan menawarkan pinjaman tanpa suatu kelulusan di kawasan awam.

Kesalahan dilakukan di hadapan sebuah restoran makanan segera di Nilai Square Commerce Centre, Bandar Baru Nilai Utama, Nilai pada 2.15 petang, 6 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang boleh dihukum mengikut akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 1:23 PM