GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap

Tampin: Seorang suri rumah didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, tadi, selepas mengaku bersalah terbabit dalam pemberian pinjaman wang tanpa lesen.

Tertuduh, S S.Rajaswari, 56, mengaku bersalah melakukan kegiatan itu sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

Tertuduh turut dikenakan hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen yang sah pada 13 Januari lalu di sebuah rumah di Taman Gunung Emas di sini.

Justeru itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah.

Siasatan polis mendapati tertuduh menjalankan aktiviti memberi pinjaman wang tanpa lesen di sekitar Tampin dan peminjamnya adalah dikalangan rakan - rakannya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 1:23 PM