SWEE Thong (kiri) dan Chee Chung didenda oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen. FOTO Mohd Khidir Zakaria
SWEE Thong (kiri) dan Chee Chung didenda oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Raja Noraina Raja Rahim dan Mohd Khidir Zakaria


DUA lelaki didenda RM8,000 dan RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Tampin, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen.

Majistret Tan Chai Wei menjatuhkan hukuman itu terhadap Gn Swee Thong David dan Chai Chee Chung yang kedua-duanya berusia 26 tahun.

Mengikut pertuduhan, Swee Thong didakwa memberi pinjaman wang tanpa lesen kepada seorang lelaki berusia 26 tahun di restoran makanan segera di Tampin jam 5.30 petang pada Mei 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda tidak kurang RM250,0000 dan tidak lebih RM1 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen menjalankan aktiviti memberi pinjaman wang di lokasi sama dan pada masa serta tarikh sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 29AA (1) akta sama.

Swee Thong bagaimanapun membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM8,000.

Sementara itu, Chee Chung didakwa membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan menggantung poster di sebatang pokok tepi jalan Taman Seri Kendong, Kota, Rembau, pada jam 11.45 pagi, 15 Disember 2015.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29AA (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fuad Ramlan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 2:50 PM