Antara pemandu teksi yang menunggu penumpang di sekitar  Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Antara pemandu teksi yang menunggu penumpang di sekitar Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Natrah Laili Abdul Aziz dan Anis Syuhada Mohd Rosli


Kuala Lumpur: Pemandu teksi di ibu negara kini mampu menarik nafas lega apabila pendapatan meningkat selepas orang ramai mula 'beralih' menggunakan perkhidmatan itu untuk ke destinasi pilihan masing-masing.

Keadaan itu dipercayai berlaku apabila timbul dakwaan kenaikan harga tambang perkhidmatan e-hailing, selain tempoh masa menunggu agak lama.

Pemandu teksi, S. Karthivel, 39, berkata, dia boleh menarik nafas lega apabila orang ramai kembali memilih perkhidmatan teksi untuk ke destinasi pilihan, berbanding sebelum ini kebanyakan pemandu teksi terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan penumpang.

Katanya, ketika penumpang lebih memilih perkhidmatan e-hailing, kebanyakan pemandu teksi hanya menerima antara RM60 hingga RM70 sehari.

Namun kini, katanya, mereka sudah mula merasa kenaikan pendapatan dua kali ganda iaitu sebanyak RM150.

"Sekarang penumpang sudah tahu untuk membuat pilihan kerana harga (perkhidmatan teksi) jauh lebih murah berbanding e-hailing yang naik secara mendadak kebelakangan ini.

"Perubahan ini membawa impak yang besar kepada kami (pemandu teksi) kerana perkhidmatan teksi dilihat kembali 'bernyawa', sekali gus meningkatkan pendapatan kami," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, harga tambang yang ditawarkan perkhidmatan e-hailing kini juga dilihat tidak setimpal dengan jarak perjalanan.

Seorang lagi pemandu teksi, Here Yanto, 43, berkata, perjalanan pada waktu puncak memberi peluang besar kepada pemandu teksi kerana kebanyakan penumpang mendakwa tambang e-hailing melambung tinggi.

"Kebanyakan pemandu teksi sekarang mengambil penumpang di stesen LRT dan MRT kerana waktu puncak kebiasaannya bermula awal 7 sehingga 9 pagi dan 5 hingga 7 petang.

"Bila waktu puncak, e-hailing selalu mainkan harga jadi ia menjadi masalah kepada penumpang dan membuat keputusan untuk memilih perkhidmatan kami yang menggunakan meter kerana harga dikenakan lebih masuk akal," katanya yang berpengalaman lapan tahun sebagai pemandu teksi.

Here Yanto berkata, mereka menggunakan peluang ini untuk mencari rezeki lebih kerana tidak tahu sampai bila senario ini akan berlaku.

"Kami ada keluarga dan komitmen untuk dibayar. Jadi apabila peluang ini muncul, penat lelah kerja selama 10 jam pun tidak apa kerana ia membuahkan hasil," katanya.

Sementara itu, seorang penumpang e-hailing, Nur Syuhada Abdul Jalil, 25, mendakwa dia terpaksa menunggu selama setengah jam untuk mendapatkan perkhidmatan ini selain harga yang ditawarkan naik antara RM2 hingga RM4.

"Dulu perkhidmatan (e-hailing) ini memudahkan (pengguna) kerana senang untuk dapatkan selain harga tambang lebih murah berbanding teksi tetapi sekarang sebaliknya.

"Kenaikan harga mendadak ini membuatkan saya memilih teksi untuk pulang ke rumah kerana harga sesuai dengan jarak perjalanan," katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM), Kamaruddin Mohd Hussain berkata, penumpang kini lebih bijak untuk memilih alternatif lain.

Katanya, tambang yang dikenakan pemandu teksi adalah terbaik kerana ia masih mengikut meter perjalanan dan harga tidak dimanipulasi.

"Ketika awal kemunculan e-hailing ini, pihak mereka menarik pelanggan dengan menggunakan diskaun dan baucar dan kerana ia satu daripada langkah untuk 'membunuh' teksi.

"Saya kasihan dengan rakyat dan pemandu teksi. Pihak berkuasa sepatutnya dengarlah aduan dan berilah penyelesaian terbaik untuk mangsa keadaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 4:28 PM