Kamarudin menghantar surat permohonan bantuan khas kepada Perdana Menteri. FOTO ihsan GTSM
Kamarudin menghantar surat permohonan bantuan khas kepada Perdana Menteri. FOTO ihsan GTSM
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Ahli Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) memohon pertimbangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyalurkan bantuan khas bulanan RM500 kepada semua pemandu teksi dan kereta sewa diseluruh negara yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Yang Dipertua (YDP) GTSM Kamarudin Mohd Hussain berkata, permohonan bantuan itu adalah bagi membantu ahli yang terkesan dari segi pendapatan akibat wabak Covid-19.

Kamarudin berharap rayuan itu dipertimbangkan seterusnya dimasukkan ke dalam pakej Belanjawan 2021.

"Hari ini kami menghantar satu surat rasmi kepada Perdana Menteri agar mempertimbangkan rayuan supaya membantu kami yang benar-benar berada di dalam kesusahan.

"Ketika ini, kami tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan melainkan bergantung sepenuhnya kepada penumpang.

"Sebelum ini kami kehilangan sumber pendapatan sebanyak 80 peratus akibat ketidaksamarataan peraturan.

"Namun belum sempat perkara itu diberi perhatian Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Mac lalu bagi menyekat Covid-19 menyebabkan kami kehilangan 100 peratus sumber pendapatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Kamarudin, GTSM memohon Perdana Menteri supaya melihat keadaan ahli yang ditekan oleh pihak syarikat walaupun tidak mempunyai sumber pendapatan.

"Pihak syarikat terus memaksa pemandu kami menjelaskan bayaran sewaan teksi harian sekurang-kurangnya RM50. Malah terdapat juga aduan daripada pemandu kami yang pihak syarikat menyita teksi mereka.

"Perkara ini pernah dipanjangkan beberapa kali di dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, malangnya sehingga ke hari ini belum ada sebarang usaha yang mampu melindungi kebajikan pemandu kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 7:47 PM