Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tun Hussein Onn memadamkan kebakaran sebuah kereta Proton Persona yang terbabit kemalangan di Balakong di sini, pagi tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tun Hussein Onn memadamkan kebakaran sebuah kereta Proton Persona yang terbabit kemalangan di Balakong di sini, pagi tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Raja Noraina Raja Rahim


Kajang: Kereta Proton Persona yang terbakar di Jalan Suakasih Bandar Tun Hussein Onn di sini, pagi tadi, dikesan dipandu gila dengan merempuh dua kenderaan lain sehingga mengakibatkan seorang pemandu wanita cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata, kemalangan jam 10.26 pagi membabitkan kenderaan pacuan empat roda dan dua kereta model Proton Persona dan Perodua Myvi.

Katanya, berdasarkan laporan, pemandu pacuan empat roda berusia 57 tahun itu berada di persimpangan lampu isyarat untuk membelok ke kanan di Jalan Suadamai sebelum dirempuh kereta Proton Persona yang datang dari arah bertentangan.

"Kereta itu kemudian mengundur dan sekali lagi melanggar kenderaan mangsa sebelum meninggalkan lokasi kejadian.

"Suspek meneruskan perjalanan ke Jalan Suakasih dan ketika melalui persimpangan lampu isyarat, suspek merempuh pula kereta Perodua Myvi dari arah belakang menyebabkan kereta dipandu wanita berusia 39 tahun itu melambung sebelum melanggar tiang elektrik," katanya tadi.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu, kereta suspek terbakar di bahagian enjin manakala kereta mangsa rosak teruk.

Katanya, suspek disahkan positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa rakaman video yang menunjukkan seorang lelaki menumbuk anggota bomba dan mengamuk sebelum berjaya ditahan.

Berita berkaitan

Apa masalah kau tumbuk abang bomba?

Lelaki tumbuk abang bomba positif dadah

Siasat segera!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 7:16 PM