Lokasi bangunan sekolah kejadian seorang pekerja am tergelincir dan maut apabila terjatuh dari bumbung disebuah sekolah di Labis, Segamat kelmarin. FOTO AHMAD ISMAIL
Lokasi bangunan sekolah kejadian seorang pekerja am tergelincir dan maut apabila terjatuh dari bumbung disebuah sekolah di Labis, Segamat kelmarin. FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail.


Segamat: Pekerja am maut terjatuh dari ketinggian 12.5 meter ketika melakukan kerja menukar bumbung sebuah sekolah di Labis, di sini kelmarin.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Husdin Che Amat berkata, siasatan awal mendapati mangsa lelaki tempatan berusia 32 tahun itu bersama dua rakan ditugaskan melakukan kerja menukar bumbung berkenaan kira-kira jam 3.50 petang.

Katanya, mangsa yang berada di ruang atas siling ditugaskan untuk membantu menghulurkan barang kepada rakan sekerjanya yang berada di atas bumbung.

"Talian nilon berdiameter 10 milimeter yang diikat pada kekuda bumbung disediakan untuk penyambungan ke abah-abah (safety harness).

"Malangnya, mangsa didapati tidak memakai abah-abah dan hanya memakai selipar ketika bekerja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa turut dipercayai naik ke bumbung dan tergelincir akibat hujan dan disahkan meninggal dunia pada jam 6.20 petang di Hospital Daerah Segamat (HDS).

Sehubungan itu katanya, JKKP Johor mengarahkan pegawainya menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kejadian itu dan mengeluarkan Notis Larangan kepada majikan atas kegagalan menyediakan sistem kerja selamat di tempat tinggi khususnya bagi kerja-kerja penukaran bumbung serta kegagalan untuk memastikan tempat kerja tersebut dalam keadaan selamat.

"Majikan juga diarahkan untuk mengambil tindakan penambahbaikan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi kerja-kerja penukaran bumbung termasuk mengadakan prosedur kerja selamat dan penaksiran risiko.

"JKKP memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan," katanya.

Husdin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati wujud pelanggaran Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Husdin berkata, risiko ini sebenarnya boleh dikurangkan jika majikan menggunakan instrumen yang sistematik yang terdiri daripada tiga proses utama, iaitu pengenalpastian 'hazard', penaksiran risiko dan kawalan risiko (HIRARC).

Selain itu, majikan boleh merujuk kepada Garis Panduan Pencegahan Jatuh di Tempat Kerja yang dikeluarkan oleh JKKP pada 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 4:27 PM