PEGAWAI penyiasat JKKP Perak menjalankan siasatan di kilang kelapa sawit di Pantai Remis, Manjung membabitkan seorang pekerja maut akibat terjatuh ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan. FOTO Ihsan JKKP Perak
PEGAWAI penyiasat JKKP Perak menjalankan siasatan di kilang kelapa sawit di Pantai Remis, Manjung membabitkan seorang pekerja maut akibat terjatuh ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan. FOTO Ihsan JKKP Perak
Muhammad Apendy Issahak


PEKERJA kilang kelapa sawit di Pantai Remis, di Manjung, maut selepas dipercayai terjatuh daripada ketinggian kira-kira 6 meter ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan pada bahagian luar dinding dandang stim di kilang berkenaan, semalam.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, lelaki warga tempatan, V Ravindran, 28, dikatakan sedang berdiri di atas paip stim untuk menjalankan kerja pengukuran pada bahagian luar dinding dandang sebelum mangsa tergelincir lalu jatuh ke lantai.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Zamzurin Maarof berkata, mangsa yang parah pada bahagian kepala dihantar ke Klinik Kesihatan Changkat Kruing, di sini dan disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat dan sehubungan itu, JKKP Perak mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan ke atas kejadian berkenaan.

“Susulan daripada siasatan dijalankan, satu notis larangan dan lima notis dikeluarkan kepada majikan membabitkan kegagalan majikan mewujudkan prosedur kerja selamat dan sistem permit bekerja untuk kerja-kerja di tempat tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, majikan juga didapati gagal untuk mengemaskini penaksiran risiko dan menyediakan latihan untuk kerja di tempat tinggi kepada pekerja.

“Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Sehingga semalam, terdapat enam kes maut membabitkan pekerja jatuh daripada tempat tinggi dan semua majikan dinasihat agar memastikan aktiviti kerja tempat tinggi mengikut Garis Panduan Pencegahan Jatuh di Tempat Kerja yang dikeluarkan JKKP pada 2007,” katanya.

Zamzurin berkata, JKKP memandang serius setiap kemalangan membabitkan pekerja mahupun orang awam kerana kejadian seumpama itu boleh dielakkan.

“Jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif termasuk mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) kemalangan di tempat kerja boleh dielakkan.

“Oleh itu, semua majikan digesa untuk mempertingkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja mereka bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 1:08 PM