M Ravi dan Mohamad Rafie ketika ditemui di perkarangan bangunan DUN. FOTO Mohd Amin Jalil
M Ravi dan Mohamad Rafie ketika ditemui di perkarangan bangunan DUN. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan menafikan berlakunya pergolakan dalaman dan sokongan terhadap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun masih kukuh.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Datuk M Ravi berkata, walaupun sebelum ini terdapat cadangan untuk melantik individu lain menjawat jawatan Pengerusi MPN susulan kesibukan Aminuddin yang perlu memberikan fokus kepada pentadbiran negeri namun cadangan itu terhenti begitu saja.

"Memang ada cadangan sebelum ini untuk melantik individu lain sebagai Pengerusi MPN negeri bagi memberi ruang kepada Menteri Besar fokus kepada ekonomi dan pentadbiran, tetapi cadangan itu sudah lama dan ia tergendala.

"Malah, cadangan itu pun tidak pernah dibawa ke peringkat pemimpin tertinggi parti.

"Ketika ini sokongan semua pihak dalam parti kepada Datuk Seri Aminuddin sebagai Menteri Besar masih utuh dan tidak berbelah bahagi," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai sekumpulan pemimpin PKR negeri itu yang dikatakan mengeluarkan kenyataan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin semalam.

Ravi yang juga Timbalan Speaker DUN Negeri Sembilan berkata, Menteri Besar sudah melaksanakan tugas dengan cemerlang bukan saja dalam usaha pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat, malah mengukuhkan parti.

"Masalah yang timbul itu adalah isu dalaman parti dan ia boleh diselesaikan secara baik menerusi parti. Justeru itu tidak timbul isu menidakkan keupayaan Aminuddin selaku memimpin utama PKR negeri.

"Saya tidak setuju dan kesal dengan tindakan mereka mengeluarkan kenyataan seperti itu dalam laman sosial.

"Saya sudah arahkan setiausaha untuk mengambil tindakan sewajarnya termasuk disiplin terhadap mereka yang berkenaan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Cabang PKR Seremban yang juga ahli Exco negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek menyifatkan ia adalah masalah dalaman parti dan tidak harus diperbesarkan.

"Ini masalah dalaman parti seperti kocakan air dalam cawan. Ia boleh diselesaikan dalam konteks kekeluargaan dalam parti," katanya yang turut mengesahkan beliau tidak hadir dalam perjumpaan kumpulan terbabit walaupun namanya tercatat pada kenyataan itu.

Sementara itu, Aminuddin enggan mengulas lanjut dan meminta persoalan itu dikemukakan kepada kumpulan berkenaan.

"Saya tiada masalah, beliau (Ravi) sudah jelaskan, tanya kepada mereka yang membuat kenyataan itu," katanya ringkas ketika ditemui sebelum memasuki bangunan DUN.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan secara bersama kumpulan itu semalam, Aminuddin didakwa tidak berusaha untuk memperkukuhkan penguasaan politik Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilihat semakin hampir.

Mereka mendakwa Pengerusi MPN tidak melakukan penyusunan dan koordinasi yang berkesan untuk menarik sokongan pengundi terutamanya di kawasan DUN yang perlu diberikan tumpuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 2:28 PM