AMINUDDIN. FOTO Arkib NSTP
AMINUDDIN. FOTO Arkib NSTP
Mohd Amin Jalil

Seremban: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui tidak tahu ada segelintir pemimpin PKR di negeri itu ingin menjatuhkannya sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

Beliau juga tidak dimaklumkan mengenai ada pihak berusaha mengumpul akuan bersumpah (SD) untuk diserahkan kepada kepemimpinan PKR pusat.

"Saya tidak tahu tentang SD atau perkara (gerakan) tersebut. Saya tidak dimaklumkan mengenainya.

"Perkara ini biasa dalam politik dan kalau perkara itu berlaku saya yakin itu semua adalah ketentuan Allah SWT.

"Saya tiada masalah dan fokus kita untuk berikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat terutamanya dalam keadaan Covid-19 ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri hari terakhir Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan Yang Ke-14, di sini, hari ini.

Dalam laporan media sebelum ini, Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan Yusuf Tapar memaklumkan rancangan supaya Aminuddin digantikan dengan individu lain sudah lama dilakukan.

Yusof berkata, SD ditandatangani pemimpin berkenaan juga dihantar kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira empat bulan lalu.

Yusuf turut mengesahkan empat daripada enam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR di Negeri Sembilan menandatangani SD berkenaan iaitu membabitkan Adun Labu Datuk Ismail Ahmad, Adun Ampangan Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek, Adun Sri Tanjung Datuk M Ravi dan Adun Chuah Datuk Yek Diew Ching.

Dalam pada itu, Aminuddin menegaskan bahawa beliau tidak terkesan dengan isu yang ditimbulkan pihak berkenaan dan ia dapat diselesaikan dengan baik.

Beliau berharap semua pihak yang berkenaan mengelak membangkitkan isu politik keterlaluan ketika usaha menangani Covid-19 yang masih belum reda sepenuhnya.

"Sebaiknya elak timbulkan isu politik yang membebankan, kita kena fikir bergerak ke hadapan, untuk pulihkan ekonomi, itu keutamaan kita yang sepatutnya," katanya.

Malahan katanya, kumpulan berkenaan selalu berjumpa dengannya termasuk dalam mesyuarat MPN.

"Kita bukan tak buat langsung mesyuarat, saya rasa tidak ada masalah cuma sedikit salah faham yang boleh dibetulkan," katanya.

Sementara itu, Ismail pada sidang media di pejabatnya, menegaskan bahawa perkara yang berlaku membabitkan isu dalaman parti.

Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Rasah berkata, tidak timbul isu menjatuhkan Aminuddin sebagai Menteri Besar.

"Saya tetap berdiri teguh di belakang YAB Datuk Seri Aminuddin sebagai Menteri Besar, namun dalam hal membabitkan urusan pentadbiran parti yang perlu dilaksanakan mungkin perlu diserahkan kepada orang lain.

"Ini termasuk juga dalam perkara pelantikan mana-mana ahli MPN, supaya parti ini dalam keadaan teratur dan baik, apa lagi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang tidak lama lagi," katanya.

Katanya, pihaknya merasakan perkara itu penting supaya usaha menggerakkan jentera PRU yang baik dan cemerlang, dapat dilakukan.

"Apa pun kita serahkan kepada kebijaksanaan Presiden dalam menyelesaikan perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 6:16 PM