AMINUDDIN, gambar fail. FOTO NSTP
AMINUDDIN, gambar fail. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Gara-gara mengeluarkan kenyataan media mengenai Majlis Pimpinan Negeri (MPN) secara terbuka pada Ahad lalu, Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Yusof Tapar dipecat daripada jawatan itu berkuat kuasa hari ini.

Surat pemecatan itu ditandatangani Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi MPN, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dalam surat berkenaan dinyatakan kedudukan Yusop tidak lagi wajar dikekalkan susulan perkembangan mutakhir dan kenyataan media secara terbuka yang dibuatnya.

Yusop ketika dihubungi malam ini mengesahkan menerima surat pemecatan berkenaan pada jam kira-kira 4 petang tadi menerusi serahan tangan oleh kakitangan Pejabat Menteri Besar.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai sudah dijangka dan tidak menghadapi masalah mengenainya.

"Saya sudah menjangkakan perkara ini dan tindakan yang akan dikenakan terhadap saya.

"Saya tidak sedih pun, malah sudah bersedia dari awal. Selepas ini saya lebih bebas untuk bercakap dan tidak mahu bersekongkol dengan orang yang boleh saya katakan memalukan parti.

"Namun begitu, walaupun dipecat, saya akan tetap setia kepada parti dan akan terus bersuara jika ada yang dilihat tidak betul dalam parti," katanya, hari ini.

Katanya, beliau tidak kisah dengan jawatan itu dan pernah empat kali meminta untuk dipecat sebelum ini kerana tidak bersetuju dengan pentadbiran Aminuddin dalam parti.

Ahad lalu, Yusof bersama sekumpulan pemimpin PKR negeri mengeluarkan kenyataan bersama mengenai kepimpinan PKR Negeri Sembilan yang dikatakan sebulat suara menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pengerusi MPN negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mereka mendakwa Pengerusi MPN Negeri Sembilan itu tidak berusaha untuk merancang bagi mengukuhkan penguasaan parti bagi memastikan dapat terus kekal memerintah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Yusuf yang dilantik dalam jawatan berkenaan sejak tiga tahun lalu berkata, pemecatan itu sepatutnya dibawa dalam mesyuarat MPN seperti ketika pelantikannya sebelum ini.

"Apa pun saya akur dan tiada masalah dengan pemecatan jawatan itu, namun akan tetap memberikan sokongan padu kepada Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya yang telah berjuang dalam parti itu sejak 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 11:52 PM