Aminuddin Harun pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2021 Peringkat Negeri Sembilan di Wisma Negeri. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Aminuddin Harun pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2021 Peringkat Negeri Sembilan di Wisma Negeri. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mohd Amin Jalil


Seremban: Krisis politik PKR Negeri Sembilan dilihat berakhir apabila Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun kekal sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Aminuddin kekal menjawat jawatan itu selepas semua ketua cabang bersetuju untuk kekalkan Aminuddin dalam mesyuarat MPN Negeri Sembilan, hari ini.

"Ia dibuat atas semangat perjuangan parti dan memperkukuhkan jentera untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Alhamdulillah, kedudukan Aminuddin sebagai Menteri Besar tidak dibangkitkan, malah mendapat sokongan padu daripada semua pihak.

"Cuma terdapat beberapa isu dibangkitkan iaitu keperluan parti dan cabang untuk memperkukuhkan jentera bagi menghadapi PRU di Negeri Sembilan.

"Kita telah memberi ruang dan berbincang dengan semua termasuk Exco dan Timbalan Speaker (merangkap Timbalan Pengerusi PKR Negeri) untuk membantu memudahkan Aminuddin sebagai Menteri Besar dan pada masa sama sebagai Pengerusi MPN," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN Negeri Sembilan di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, hari ini.

Ahad lalu, politik PKR Negeri Sembilan dikejutkan dengan satu kenyataan melalui Ketua Penerangan PKR negeri, Yusof Tapar yang menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kepemimpinan Aminuddin selaku Pengerusi MPN.

Aminuddin didakwa gagal melakukan sebarang penyusunan dan koordinasi berkesan untuk menarik sokongan pengundi terutamanya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang perlu diberi tumpuan dan keutamaan.

Malah, Yusof mendakwa empat orang Adun PKR menandatangani akuan bersumpah (SD) yang memberikan sokongan terhadap usaha menggantikan Aminuddin.

Bagaimanapun, kemuncak daripada krisis itu, Aminuddin bertindak memecat Yusof daripada jawatan berkenaan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 5:18 PM