MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. FOTO arkib NSTP
MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. FOTO arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar mengesahkan tiada sebarang surat daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau mengesahkan perkara itu selepas ditanya Anthony Loke Siew Fook (PH-Chennah) ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14, di sini, hari ini.

"Tiada surat diterima daripada mana-mana ahli dewan yang menyatakan menarik sokongan terhadap Menteri Besar," katanya.

Siew Fook memaklumkan pengesahan daripada Zulkefly itu penting kerana ia sekali gus menunjukkan Aminuddin yang juga Adun Sikamat masih mempunyai sokongan majoriti dalam DUN untuk terus menerajui kerajaan negeri sebagai Menteri Besar.

"Saya hanya mahu jawapan itu kerana penting bagi memberi mesej yang kuat dan jelas kepada seluruh rakyat yang beliau masih ada majoriti dan sokongan dalam DUN yang mulia ini untuk terus menerajui kerajaan Negeri Sembilan.

"Pergolakan dalam parti itu perkara biasa, parti nak buat macam mana, terpulang, kalau parti nak tukar kedudukan Sikamat sebagai pengerusi pun itu adalah hal dalaman parti kerana kedudukan parti tidak menjejaskan kedudukan dalam kerajaan," katanya.

Siew Fook yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berkata, selagi Aminuddin mempunyai sokongan majoriti Adun, kedudukannya sebagai Menteri Besar tidak perlu dipertikaikan.

"Saya ajak seluruh barisan Adun kerajaan untuk bersama-sama mendukung dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Sikamat untuk menerajui kerajaan Negeri Sembilan sehingga akhir tempoh," katanya.

Terdahulu, tersebar kenyataan media di laman sosial berkaitan segelintir pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri yang didakwa hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

Ketua Penerangan PKR negeri, Yusuf Tapar dilaporkan berkata, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) perlu membuat rombakan.

Beliau mendakwa Aminuddin selaku Pengerusi MPN negeri tidak melakukan sebarang penyusunan dan koordinasi berkesan untuk menarik sokongan pengundi terutamanya di kawasan DUN yang perlu diberi tumpuan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 2:58 PM