AMINUDDIN Harun. FOTO arkib NSTP
AMINUDDIN Harun. FOTO arkib NSTP
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat, Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilaporkan sudah berpindah keahliannya ke cabang Port Dickson.

Menurut sumber PKR negeri semalam, perpindahan keanggotaan Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan itu diputuskan pada akhir Januari lalu.

"Memang betul, keanggotaan Datuk Seri Aminuddin sudah berpindah ke Cabang Port Dickson dan keputusan itu dilakukan pada akhir Januari lalu.

"Ini kerana mungkin ada pandangan yang berbeza-beza dalam parti, bagaimanapun, sama ada beliau akan bertanding (Ketua Cabang Port Dickson) tidak pasti lagi kerana masih dalam tempoh penamaan (pemilihan) calon lagi.

"Ada yang bertanya, kemungkinan (bertanding Ketua Cabang Port Dickson) itu, tetapi saya rasa jika sudah berpindah ke Port Dickson itu, bacaan mungkin betul," katanya.

Aminuddin yang juga Menteri Besar adalah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat sejak 2008. Beliau juga Ketua Cabang Tampin sejak menang pemilihan parti 2018.

Ketua Cabang Port Dickson kini disandang oleh Timbalan Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk M Ravi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjung itu antara nama yang dikaitkan dalam penyebaran kenyataan pada September tahun lalu yang mencadangkan supaya jawatan Pengerusi MPN Negeri Sembilan yang dipikul oleh Aminuddin digantikan dengan individu lain.

Aminuddin berasal dari Kampung Pachitan, Port Dickson antara yang disebut-sebut bakal bertanding di Parlimen Port Dickson dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Sementara itu, Ravi berkata, beliau mendapat makluman mengenai perkara itu ketika memeriksa keahlian Aminuddin di cabangnya baru-baru ini.

"Saya tengok ada nama Aminuddin dan terus menghubungi pejabat PKR pusat yang mengesahkan keahlian sudah tukar ke Port Dickson.

"Dia nak tukar itu hak dia tetapi saya tak tahu apa tujuan beliau tukar ke cabang Port Dickson yang mana sebelum ini beliau dari Cabang Seremban lompat ke Cabang Tampin," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjung ini ketika dihubungi.

Menurutnya, kemungkinan Pengerusi PKR Negeri itu ada sebab tersendiri bertukar keahlian di Port Dickson tetapi rakan dalam parti turut tertanya-tanya mengenainya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 4:29 PM