rokok dan arak seludup dirampas. FOTO Ihsan JKDM
rokok dan arak seludup dirampas. FOTO Ihsan JKDM
Melvin Joni


SEBANYAK 84,464 batang rokok dan 1,452 liter minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai diseludup dirampas dalam serbuan dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak di Miri, semalam.

Pengarah JKDM Sarawak Datuk Sharifah Halimah Taha berkata, jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM33,000 dan tidak termasuk cukai lebih RM92,000.

Menurutnya, tangkapan pertama dibuat pada jam 3.35 petang ketika serbuan di satu premis di Batu Niah dengan rampasan 39,744 batang rokok dan 1,083 liter minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai belum dilulus JKDM, dianggarkan bernilai lebih RM11,000 dan jumlah cukai sebanyak RM48,145.

"Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menyimpan rokok dan minuman keras yang belum lulus kastam di premis berkenaan untuk dijual kepada pelanggan.

"Rokok dan minuman keras berkenaan disembunyikan di dalam bilik stor dan peti sejuk," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sharifah berkata, rampasan kedua dibuat pihaknya pada jam 4.35 petang terhadap sebuah van yang di parkir di Niah Land District, tidak jauh dari lokasi pertama serbuan.

“Kenderaan bercermin gelap itu diperiksa pegawai JKDM Yang curiga sebelum menemui rokok dan minuman keras di dalamnya. Kenderaan yang ditinggalkan dalam keadaan tidak berkunci itu kemudiannya dirampas selepas tiada pemilik yang tampil,” katanya.

Sharifah berkata, sebanyak 44,720 batang rokok dan 369 liter minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM22,801 dan jumlah cukai lebih RM44,000.

"Pasukan percaya kenderaan itu digunakan pihak tertentu sebagai tempat simpanan barang seludup bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 11:51 AM