Mohd Salim (tengah) ketika meninjau Pusat Pemberian Vaksin SMK Seri Jempol yang memberi suntikan vaksin kepada kakitangan PPDJJ dan pelajar tingkatan enam sekitar Jempol. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP.
Mohd Salim (tengah) ketika meninjau Pusat Pemberian Vaksin SMK Seri Jempol yang memberi suntikan vaksin kepada kakitangan PPDJJ dan pelajar tingkatan enam sekitar Jempol. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seramai 56 guru di daerah ini dikenal pasti masih belum mengambil suntikan vaksin terutama membabitkan majoriti guru wanita mengandung.

Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata, daripada jumlah itu, 30 guru adalah wanita yang sedang mengandung dan akan melahirkan anak tidak lama lagi.

Katanya, kesemua guru terbabit memberi jaminan akan mengambil vaksin selepas selamat melahirkan bayi kelak kepada Pejabat Pendidikan Daerah Jempol dan Jelebu ( PPDJJ ).

"PPDJJ juga sedang menjalankan sesi kaunseling kepada baki 26 guru yang tidak mahu mengambil vaksin atas pelbagai alasan.

"Saya berpendapat keengganan guru terbabit mengambil vaksin wajar diambil tindakan sekiranya langkah kaunseling itu menemui jalan buntu.

"Dalam isu ini, kita tidak mahu keengganan guru terbabit menerima vaksin boleh mendatangkan masalah lain kepada murid dan pelajar," katanya tadi.

Katanya, ketika ini sebanyak 98.6 peratus warga sekolah membabitkan guru, pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan pengusaha kantin di daerah Jempol dan Jelebu sudah menerima vaksin.

Dalam perkembangan lain, Mohd Salim berkata, seramai 9,341 murid dan pelajar berusia 12 hingga 17 tahun di Parlimen Jempol akan mula menerima suntikan pada 15 September ini.

Katanya mereka perlu divaksin bagi membolehkan mereka memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka dilaksanakan awal Oktober hadapan.

"Murid dan pelajar yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit kencing manis, darah tinggi dan asma antara yang akan diberi keutamaan terlebih dahulu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 7:13 PM